
KOTA BHARU: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi Parlimen Ketereh, Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor berhasrat membawa suara veteran askar dalam Parlimen jika diberi mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya fokus beliau untuk memastikan sebahagian besar golongan terbabit mendapat pembelaan sewajarnya.
Beliau berkata, banyak isu dibangkitkan bekas tentera yang berpencen dan tidak berpencen melalui badan bukan kerajaan (NGO) kerana ia seolah-olah ia tidak diberikan perhatian kerajaan.
Mejar Jeneral Dato’ Khlir Mohd Nor dalam program bersama anak muda.
“Banyak isu membabitkan bekas tentera, tiada siapa yang pedulikan jadi saya akan perjuangkan isu ini dan mahu pastikan mereka mendapat bantuan sewajarnya.
“Jadi kita kena ada suara di Parlimen, sekarang tiada orang bercakap hatta menteri sekalipun.
“Mereka bukan askar dan dia tidak pernah terlibat dan alami kehidupan kita alami,” katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Cakna Hawa dan Bantuan Pesakit Kronik di Wisma Tok Wali, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Melor di sini semalam.
Khlir yang juga bekas Ketua Perisikan Tentera Darat berkata, amat memahami keperitan kehidupan selepas menamatkan perkhidmatan.
Ditanya pertembungannya dengan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua Pergerakan Puteri Umno Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin, Khlir berkata beliau tidak memandang rendah kemampuan dimiliki Umno.
Bagaimanapun katanya ketiadaan penyandang kerusi Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dijangka memberi peluang lebih cerah kepada PN dengan sokongan padu jentera PAS. – HARAKAHDAILY 4/11/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!