Pengundi tanpa parti 43 peratus di PRN Melaka, Johor

- Advertisement -

KETIKA parti-parti Melayu berada di posisi pembangkang, mereka mampu bersatu. Kata orang berpadu tenaga dan berkongsi pentas. Kerjasama itu diakrabkan lagi dengan muncul Piagam Muafakat Nasional (MN). Ramai masih ingat tanggal 14 September 2019, pemimpin Melayu dari PAS dan Umno berkumpul di PWTC.

Ada esakan dan tangis sedu mengenang permusuhan politik dalam tempoh begitu lama. Malah pemimpin PAS diberi peluang menjadi imam dan menyampaikan tazkirah. Ramai mengharapkan kerjasama itu kekal lama. Rupa-rupanya tidak begitu. Harap panas sehingga ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari.

Selepas mendapat kuasa politik dan tidak lagi bergelar pembangkang, Umno mulai mempamerkan wajah sebenar. Bagi menyusuri perkembangan itu ikuti temubual LANJUSOH dengan dibantu jurugambar ZHARIF ZULKEFLEE bersama Timbalan Presiden PAS Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini. Transkrip oleh SYAHIRAH SALLEH.

- Advertisement -

Harakah: Umno dilihat kembali kuat selepas bersama Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan Persekutuan. Kemuncaknya selepas Umno dan Barisan Nasional menang besar pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor. Mungkinkah di situ titik tolaknya?

Tuan Ibrahim: Saya rasa tidak di situ, saya rasa lebih awal daripada itu lagi, dia bermula dengan kejayaan Umno menukar Menteri Besar dan Ketua Menteri di Melaka, Johor, kemudian di Perak.

Kemudian dalam pilihan raya di Sabah, kita lihat Bersatu dapat sokongan agak kuat di Sabah. Jadi, saya lihat momentum itu. Saya yakin Umno tidak akan membuat keputusan begitu melainkan ada kajian-kajiannya, mungkin menurut kajian Umno mampu meraih kejayaan.

Walaupun begitu, majoriti pengundi di Melaka dan Johor sebenarnya menolak BN. Kalau kita campur jumlah undi yang kita perolehi, PN campur dengan jumlah undi PH, sebenarnya kita masih majoriti.

Bermakna majoriti rakyat Melaka menolak BN, tetapi oleh kerana strategi kedudukan kerusi dan strategi pengundi fokus, akhirnya Umno boleh menang dan mendapat dua pertiga.

Tetapi kita PAS, kita tidak rugi dalam muafakat ini, kita mendapat lonjakan agak besar, ada 100 peratus, ada naik sampai 200 peratus di Melaka, begitu juga di Johor.

Tetapi yang agak ketara hilang undi ialah PH, DAP sendiri pun jatuh, PKR hilang beberapa kerusi dan kita lihat Bersatu juga merosot, tetapi PAS meningkat.

Jadi secara tidak langsung kita melihat sebenarnya pengundi terapung dalam sekitar 43 peratus meliputi anak muda yang juga dipanggil sebagai pengundi tanpa parti (PTP).

PTP sebenarnya kita tidak dapat baca ke mana mereka hendak bawa, bagaimana keadaan dia dan sebagainya. Jadi, ini jadi fokus kepada PN untuk mendapatkan sokongan pengundi atas pagar.

Apa pandangan Dato’ Sri terhadap nasib PN dan MN kalau dilihat kepada kenyataan Umno kebelakangan ini?

Saya tidak menganggap begitu lagi sebab kenyataan yang menolak MN hanya daripada seorang dua sahaja terutamanya daripada presiden parti itu sendiri.

Tetapi kalau kita tengok, perdana menteri sendiri, pimpinan Umno yang lain, mereka tak sama, boleh dikatakan tidak sekata dalam kenyataan. Kesimpulan yang kita nampak pihak yang menolak MN jelas daripada presiden parti itu sendiri.

Tetapi persoalannya apakah ia boleh dikatakan sebagai mewakili semua Umno? Jawapannya, tidak. Sebab kita turun, kita jumpa ada pimpinan Umno yang mahu kekalkan muafakat melalui MN.

Saya boleh katakan ia tiada isu, cuma kamu perlu selesaikan dalaman parti, sebab kalau presiden tetap hendak buat keputusan, apakah mereka ini bersedia.

Sebab di sebahagian negeri, contohnya pimpinan Umno di Selangor, mereka tahu risiko, kalau lawan tiga penjuru, dia pun akan kalah.

Di Perlis pun sama, pimpinan Umno Perlis yang bersama dalam kabinet mempunyai pandangan berbeza berbanding pemimpin utama parti itu.

Walaupun gagasan menolak itu, saya lihat media yang sering kali mengangkat cadangan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ialah media yang pro PH.

Ya, mereka suka tengok kita respons kepada kenyataan Ahmad Zahid, akhirnya kita pecah.

Mereka hendak supaya orang Melayu berpecah, mungkin ada kenyataan dia, dan kita tidak nafi dalam kalangan dalaman Umno pun ada yang hendak begitu, sebab kumpulan itu hendak kerusi untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi.

Jadi kalau berlaku muafakat PN dengan BN tentunya akan ada ketua-ketua bahagian Umno tidak boleh bertanding. Sebab status quo, incombent seat kekal kepada parti yang menang.

Contoh di Jeli, tentulah Dato’ Seri Mustapa Mohamad (Tok Pa) yang akan bertanding. Jadi Ketua Bahagian Umno hendak bertanding di mana? Begitu juga di Mersing, Ketua Umno hendak bertanding di mana? Jadi banyak tempat-tempat lain mereka bimbang hilang kerusi hendak bertanding sekiranya ada muafakat PN dan BN.

Jadi saya fikir, ia lebih bersifat peribadi, kebimbangan untuk tiada kerusi berbanding kerangka yang kita tengok. PAS tengok pilihan raya kali ini kita perlu Bersatu, bukan soal apa, bukan soal kita tidak berani hendak lawan.

Soalnya ialah, pilihan raya kali ini ialah pilihan raya akan ada ruang persempadanan baru. Ini kerana sudah cukup tempoh 8 tahun.

Apabila ada persempadanan baharu impak politik sangat besar. Sempadan baharu ini, kita pun ada banyak pengalaman, kadang-kadang kita lihat peta persempadanan itu macam-macam.

Parti menang PRU15 boleh catur persempadanan baru

Macam-macam, sengaja dirangka begitu untuk menangkan parti pemerintah, jadi siapa yang menang dua pertiga PRU-15, mereka akan menguasai paling tidak dua pilihan raya lagi selepas itu iaitu PRU-16 dan PRU-17, sebab persempadanan baharu.

Dan sekarang kita lihat akan ada tambahan sampai 100,000 pengundi satu kawasan. Ada sampai 300,000 pengundi. Pengundi 100,00 sekarang akan ada naik sampai hampir 200,000 hingga 300,000 orang. Jadi kalau ada tambahan 300,000 pengundi confirm akan ada 300 Parlimen di Malaysia.

Jadi siapa yang majoriti di situ? Kalau majoriti daripada penguasaan DAP, mungkin DAP lah. Kalau majoriti Melayu, mungkin Melayu lah. Tetapi ini yang kita bimbang dalam kerangka yang lebih besar.

Sebab itu, walaupun kenyataan Ahmad Zahid itu bersifat peribadi, kita akui. Saya berjumpa dengannya di Parlimen, saya tanya tentang bagaimana muafakat politik kita, dia kata kita bincang semula.

Tetapi oleh kerana, kita faham situasi dia sendiri dengan kes mahkamah dan sebagainya ditambah pula kesibukan, saya pun tidak mahu ganggu.

Cuma Alhamdulillah sehingga setakat ini, pimpinan PAS konsisten. Malah kenyataan Tuan Guru Presiden setiap kali berucap dan membuat kenyataan media akan tekankan soal penyatuan ummah.

Demikian juga pimpinan kita yang lain, mahu kekal penyatuan ummah. Bukan bermakna kita tidak ready untuk lawan, tetapi kita melihat kerangka lebih besar.

Tetapi dalam strategi politik, malam 3 September lepas kita lancar jentera Pilihan Raya PAS Pusat. Saya juga sudah lancar jentera pilihan raya di banyak negeri.

Semangat ahli-ahli PAS, alhamdulillah. Kalau kita ambil keputusan untuk lawan, kita akan bergerak habis-habisan untuk lawan. Cuma politik ini bukan sekadar lawan, tetapi strategi itu yang penting. – HARAKAHDAILY 12/9/2022

- Advertisement -