SPAN kesan premis sambung air AKSB secara haram

- Advertisement -

GUA MUSANG: Bahagian Penguatkuasaan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Timur mengesan premis membuat sambungan bekalan air terawat menyalahi undang-undang.

SPAN pada kenyataan berkata, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) membuat laporan berkenaan aktiviti penyambungan paip secara menyalahi peraturan dilakukan pihak terbabit.

Katanya, operasi penguatkuasaan bersama AKSB dijalankan terhadap sebuah premis bangunan sarang burung di Felda Aring dekat sini.

- Advertisement -

“Hasil pemeriksaan terperinci SPAN mendapati terdapat sambungan semula dengan menggunakan paip poly bersaiz 3/4 inci kepada tetiang meter milik AKSB yang disyaki dilakukan pemilik premis berkenaan.

“Penyambungan tersebut menyalahi undang-undang kerana penyambungan tersebut dibuat pada tetiang meter milik AKSB tanpa melalui sebarang meter air sah AKSB,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya hari ini.

Menurutnya air dari sambungan tidak sah tersebut didapati menuju masuk ke kawasan premis yang disyaki bagi kegunaan di bangunan terbabit.

Malah katanya hasil ujian teknikal dan ujian klorin yang dilaksanakan di lokasi serbuan turut mengesahkan bekalan air di premis berkenaan dari sumber air terawat milik AKSB.

“SPAN mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan dan tindakan pemotongan bekalan air telah dilaksanakan.

“Operasi penguatkuasaan sebegini adalah isyarat jelas tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil ke atas mana-mana pihak yang disyaki membuat sambungan bekalan air menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Kes terbabit disiasat di bawah peruntukan Seksyen 89 (9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) di mana jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Oleh itu SPAN berharap orang ramai memaklumkan kepada operator air sekiranya terdapat sebarang kegiatan mencurigakan berkaitan aktiviti mencuri bekalan air bersih. – HARAKAHDAILY 24/8/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -