Islam menolak pemberi dan penerima rasuah

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) konsisten menolak budaya rasuah seiring dengan larangan agama Islam yang mengharamkan umatnya memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

- Advertisement -

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 188:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Larangan ini jelas adalah untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama.

PAS sebagai sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang berpegang kepada al-Quran, Sunnah, Ijma’ dan Qiyas sebagai dasar perjuangan akan terus menentang kezaliman rasuah.

Dalam sebuah Hadis, Sayidina Abdullah ibn ‘Amr R.A meriwayatkan:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ.

 “Rasulullah S.A.W melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

(Riwayat Abu Daud, At-Tirmizi dan Ibn Majah)

PAS akan terus memperjuangkan integriti dan melawan rasuah. 

Alhamdulillah, PAS sehingga hari ini konsisten tidak disabitkan dengan kes rasuah meskipun mentadbir 3 buah negeri dan sebahagian kementerian dalam Kerajaan Persekutuan.

Malah, sekiranya terdapat kes dalam PAS, PAS sendiri yang akan bawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Saya juga menggesa agar kes-kes rasuah dan pecah amanah dalam kalangan ahli politik seperti kes Lim Guan Eng, Syed Saddiq dan Dato’ Seri Zahid Hamidi dapat dihakimi dengan seadilnya sebelum PRU15 agar ianya dapat mengembalikan tahap kepercayaan rakyat kepada Institusi Kehakiman, Legislatif dan Eksekutif di dalam negara ini.

Lebih memalukan, apabila ada yang telah dan cuba menggunakan kuasa politik untuk membebaskan diri daripada dibacarakan secara adil di mahkamah.

Sekiranya berani dan benar, berilah kepercayaan sepenuhnya kepada mahkamah sebagai ruang untuk bebaskan diri daripada tuduhan seterusnya menghentikan tohmahan dan fitnah orang ramai.

Semoga Malaysia akan bebas daripada kotoran dan najis rasuah pada masa akan datang.

Rasuah: Lawan tetap lawan!

YB SENATOR IR. TS. HAJI KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/8/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -