Integriti: Beruntunglah rakyat Kelantan

- Advertisement -

SEHARI dua ini pelbagai berita yang timbul berkenaan dakwaan kes penyelewengan, salah guna kuasa, dan sebagainya. 

Pelbagai nama, 1MDB, SRC dan kini muncul pula LCS. Apa pun namanya, siasatan telus dan perbicaraan adil mesti diberikan agar yang bersalah dikenakan tindakan. 

Cuma dalam kehangatan ini, menoleh ke Kelantan, terfikir bagaimana nilai integriti ini dipasak masuk dalam minda rakyat dan barisan kepimpinan negeri. 

Integriti itu benda mahal. Untung rakyat Kelantan kerana telah dididik selama 32 tahun dengan nilai integriti. 

Malah ditunjukkan contoh pula oleh kepimpinan negeri yang bertahan bersih dari sebarang sabitan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa. 

Selama 23 tahun di bawah kepimpinan Almarhum Tok Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan disambung legasi itu 9 tahun ini di bawah Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, nilai integriti itu tetap dipertahankan. 

Didikan dan contoh tauladan ini telah menjadikan integriti itu sebagai satu maruah dan harga diri kepada rakyat Kelantan. 

Harga diri yang tidak boleh ditukar ganti, digadai tebus oleh apa-apa pun. Hatta terpaksa berhadapan dengan penganiayaan. 

Kerana itulah 30 tahun rakyat Kelantan rela memilih bersama kepayahan dan kesukaran bersama PAS. Biarlah susah, asal harga diri tidak digadai yakni nilai integriti. Ditikam-tikam, tak mati-mati. 

Dalam kecamuk isu dan berita ketandusan integriti ini, rakyat Kelantan boleh mengangkat kepala berasa bangga dengan prestasi integriti yang telah dibuktikan. 

Kelantan mesti mempertahankan nilai ini dan terus menjadi contoh kepada masyarakat.

Setidak-tidaknya bila ada kes-kes ketandusan integriti seperti hari ini, kita rakyat Malaysia boleh mengambil Kelantan sebagai ubat merawat kedukaan. 

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -