Hina Islam: Perlukan ubatan segera dan berkesan

Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Perkembangan semasa tentang penghinaan terhadap Islam membimbangkan kita. Ia semakin parah dan membarah,” kata Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Katanya, keterujaan dalam kalangan individu dan kumpulan untuk kebebasan bersuara telah menampilkan kepada kita betapa sakitnya masyarakat kita.

“Kita perlukan ubatan yang segera dan berkesan,” ujarnya menerusi catatan di Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, undang-undang mempunyai peruntukan yang dimuatkan dalam Kanun Keseksaan dan Undang-Undang Syariah, berkaitan juga adalah Akta Hasutan.

Katanya, undang-undang itu menyediakan hukuman di mana berat atau ringan hukuman masih perlu dibahaskan.

Namun, ujar beliau persoalan lebih besar ialah keberkesanan hukuman berkenaan yang juga perlu diketengahkan.

“Kita kena fikir jenis dan bentuk hukuman,” tambahnya.

Beliau berkata, para ulama dan umarak, serta cendikiawan penalogi perlu tampil atau ditampilkan oleh pihak berautoriti dalam kadar segera.

Selain itu, ujarnya penghayatan kepada kesucian agama Islam perlukan pindidikan, dakwah dan mungkin juga dialog.

Beliau menambah, peranan keluarga dan masyarakat adalah perlu diambil berat.

Menurutnya lagi, pendidikan tentang kesucian agama Islam perlu dikukuhkan melalui pengukuhan institusi keluarga dan masyarakat.

Bahkan, kata beliau pengukuhan kepada amalan agama perlukan dasar yang jelas sama ada dalam pendidikan formal atau tidak formal, bukan tugas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atauKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sahaja.

Beliau berkata, ia juga bukan tugas pihak berkuasa agama sahaja tetapi memerlukan penglibatan agensi atau kementerian yang pelbagai.

Selain itu, tambahnya seperti juga isu-isu lain, media memainkan peranan.

“Para penguasa, segeralah garap Pelan Strategik Raya untuk memulihkan sakit masyarakat kita sekarang.

“Tiga puluh tahun belum tentu kita dapat pulihkan, jadi segerakanlah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -