Peranan penting pakar perubatan keluarga di Tanah Suci

Dalam operasi pasukan perubatan TH-KKM

- Advertisement -

TERDAPAT 8 orang Pakar Perubatan Keluarga yang bertugas di klinik di hotel-hotel penginapan jemaah Haji (5 orang di Makkah dan 3 orang di Madinah). Pakar Perubatan Keluarga ditempatkan di setiap klinik hotel penginapan untuk memastikan Jemaah mendapat perkhidmatan pakar di peringkat awal lagi. Mereka melihat kes-kes di klinik maktab dan menjadi sumber rujukan bagi kes-kes kompleks terutama pengendalian kes penyakit tidak berjangkit dan permasalahan wanita. 

Penempatan Pakar Perubatan Keluarga di hotel penginapan adalah penting dan bersesuaian kerana di situlah komuniti jemaah haji Malaysia. Pakar Perubatan Keluarga akan merawat, menjaga, menyaring komuniti di hotel sejak mereka sampai, semasa masyair sehinggalah mereka pulang ke tanah air. Dengan penjagaan yang lebih baik maka kemasukan ke hospital dapat dikurangkan dan jemaah haji mendapat rawatan kepakaran dengan cepat. Konsep yang digunakan di Malaysia diaplikasikan di sini seperti konsep Family Doctor dan kita membawa kepakaran lebih dekat kepada komuniti. 

Perkhidmatan mereka bukan hanya terhad di klinik, tetapi juga merangkumi pendidikan kesihatan kepada jemaah haji semasa ketibaan dan sebelum wuquf. Penilaian status kesihatan jemaah haji yang telah dikesan berisiko tinggi sebelum wuquf adalah sangat penting. Pakar Perubatan Keluarga akan membuat penilaian kesihatan terhadap jemaah berisiko, mengoptimakan rawatan ubatan mereka, melakukan rawatan susulan dan memutuskan bagaimana perjalanan jemaah tersebut ke Arafah-Mina. Jemaah akan dikategorikan kepada beberapa kumpulan: yang sesuai untuk bersama maktab menggunakan bas biasa atau bas khas bersama pakar. Atau jemaah mempunyai penyakit, terpaksa terus dirawat dan akan ke masyair menaiki bas safari wuquf dari pusat rawatan. 

Pakar Perubatan Keluarga juga memainkan banyak peranan dalam membuat penilaian bagi memilih jemaah yang sesuai bagi program prihatan tetamu ArRahman (PENEMAN), menilai keupayaan jemaah haji untuk pergi melontar dan sebagainya. Pasukan ini akan bersama jemaah maktab masing-masing ke Arafah, Mudzalifah dan Mina sehingga kembali semula ke hotel penginapan. Semasa Masyair klinik akan dibuka selama 24 jam untuk membantu jemaah yang tidak sihat. 

Dari segi ibadah, Pakar Perubatan Keluarga mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menilai keupayaan jemaah haji untuk pergi melontar. Keupayaan jemaah akan dinilai di Mina dan setelah mendapat pengesahan doktor, barulah proses melontar boleh diwakilkan kepada orang lain.

Syabas dan terima kasih diucapkan kepada pasukan Pakar Perubatan Keluarga dan pasukan di bawah pimpinan mereka atas segala khidmat yang diberikan.

TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -