Industri puyuh makin berkembang di Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Dasar Agromakanan Negara (2010-2020) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggalakkan pengeluaran puyuh dan ayam kampung bagi meningkatkan bekalan dan memenuhi permintaan pasaran tempatan.

Justeru, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis, Dr Adam Abdullah Kwan berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM125,000 bagi membangunkan industri puyuh.        

“Pembangunan industri puyuh termasuk agihan anak puyuh, mesin penetasan telur baka, naik taraf reban dan pembangunan Agroprenuer Muda puyuh di kalangan golongan belia.       

“Sehingga kini, bilangan ternakan puyuh di Perlis meningkat tiga kali ganda daripada 17,000 ekor pada tahun 2015 kepada 50,089 ekor pada tahun 2021,” katanya yang melawat ladang puyuh dan ayam kampung di sini, semalam. Antara ladang puyuh bimbingan JPV yang berjaya di negeri ini ialah Ladang Puyuh Kayangan dan Ladang AHA.

- Advertisement -

Katanya lagi, bilangan penternak juga turut meningkat dari lapan kepada 24 ladang bagi tempoh yang sama seterusnya dapat menghasilkan sehingga 200,000 ekor setahun pada kadar pusingan empat kali setahun.

“Industri puyuh tidak memerlukan tapak kawasan besar untuk memulakan penternakan kerana reban boleh dibina secara bertingkat-tingkat.

“Pencemaran bau dan lalat juga minimum serta kadar penggunaan anitbiotik yang rendah atau hampir tiada kerana daya ketahanan penyakit tinggi,” ujarnya.

Katanya lagi, penternak puyuh kebanyakan hanya memberi vitamin tambahan kepada pemakanan harian.

“Melalui Inovasi TMR (Total-Mix-Ration) iaitu penghasilan makanan oleh penternak sendiri sedang giat diamalkan dan boleh mengurangkan kos makanan puyuh sehingga 60 peratus.

“Permintaan juga semakin meningkat di kalangan pengguna isirumah dan pengusaha restoran.

“Pengeluaran puyuh di Perlis akan ditingkatkan dengan perancangan membangunkan ladang baka berkapasiti 100,000 anak puyuh setahun.

“Hasil pengerluaran membolehkan, penternak membekalkan anak puyuh kepada ladang-ladang pengeluaran puyuh pedaging dan telur puyuh sekitar Perlis,” katanya.

Ujarnya lagi, industri ayam kampung juga kini dilihat semakin berkembang iaitu dari 24 ladang meningkat kepada 43 ladang bagi tempoh 2015 hingga 2021.

“Pembangunan industri adalah dari segi agihan anak ayam kampung, mesin penetasan telur baka dan pembangunan penternakan bernilai-tinggi secara organik.

“Permintaan semakin meningkat kerana keenakan daging ayam kampung yang mempunyai hasil kandungan glutamin dua kali ganda berbanding ayam komersil,” ujarnya.

Pengguna yang berminat mendapatkan bekalan proses segar produk puyuh dan ayam kampung sekitar Perlis boleh melayari Facebook JPV Perlis untuk senarai pembekal. – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -