
KUALA NERUS: Atlet Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu yang bakal bertanding pada temasya itu, diingatkan supaya berhati-hati dengan pengambilan ubat-ubatan atau makanan tambahan (suplemen) bagi mengelak terpalit isu doping.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata peringatan itu susulan amaran keras oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang melarang penyertaan negeri terlibat dengan penggunaan bahan terlarang dalam Sukma edisi seterusnya.
Menurutnya, perkara itu sememangnya perlu diberi perhatian dan diambil berat oleh para atlet serta jurulatih bagi memastikan tidak berlaku masalah kelak.
“Saya nak ingatkan bukan sahaja atlet angkat berat, malah semua disiplin sukan supaya betul-betul peka ketika mengambil ubat-ubatan, makanan dan juga suplemen yang disyorkan oleh sesiapa sahaja.
“Ini kerana isu sama yang kita hadapi sebelum ini disebabkan pengambilan suplemen yang disyorkan oleh jurulatih sendiri. Ini menyebabkan kerugian kepada atlet dan juga negeri apabila pingat yang dimenangi ditarik balik,” katanya selepas Majlis Himpunan Kontinjen Sukma Terengganu Menjelang 60 hari Sukma ke-XX 2022 di sini, malam tadi.
Pada Sukma 2018 di Perak, Terengganu hilang satu pingat emas, satu perak dan dua gangsa selepas dua atletnya disahkan positif ujian doping.
Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata Terengganu akan menghantar kira-kira 600 atlet untuk menyertai 29 jenis sukan di temasya dwitahunan itu yang dijadualkan pada 16 hingga 24 September nanti.
Beliau berkata pihaknya menyasarkan 70 pingat emas pada Sukma kali ini dengan sandaran utama emas pada sukan berbasikal, kanu dan pelayaran.
“Kita sedang berada di landasan yang betul untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2018. Walaupun bakal menerima tentangan hebat daripada Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan, kita optimis mampu capai sasaran berdasarkan laporan perkembangan atlet,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata atlet pecut negara Azreen Nabila Alias sah tidak akan bertanding pada Sukma nanti dan pihaknya akur dengan kenyataan itu selepas beberapa rayuan yang dikemukakan terhadap Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi membenarkan atlet itu bertanding di temasya sukan itu ditolak.
Penyertaan Azreen Nabila di Sukma 2022 dibatalkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma atas alasan beliau telah menyertai Sukan Olimpik di Tokyo tahun lepas, namun rayuan atas pembatalan itu dilakukan oleh kerajaan negeri dengan alasan pemilihan atlet itu ke Olimpik atas tiket wild card bukannya secara merit. – BERNAMA











