Konsistensi ibadah dan ketenangan

- Advertisement -

SUATU hari Nabi S.A.W mengunjungi Aisyah R.A dan bersamanya ada seorang wanita. Baginda bertanya kepada Aisyah, siapakah wanita tersebut? Jawab Aisyah: Fulanah, dan beliau seorang yang melazimi tidak tidur malam.

Yang dimaksudkan oleh Aisyah dengan tidak tidur malam adalah seorang yang rajin mengerjakan ibadah hingga sanggup bersengkang mata demi meraih pahala yang banyak. Adapun tidur baginya akan mengurangkan pahala dan suatu yang merugikan.

- Advertisement -

Walaupun ia dilihat sebagai suatu yang memberangsangkan, tetapi ia ditegur oleh Baginda S.A.W. Jawab Nabi yang bermaksud: 

“Allah tidak akan pernah jemu memberi pahala bagi hambaNya yang tidak pernah jemu melakukan ibadah. Bersederhanalah, kerana amal yang sedikit tetapi berterusan lebih baik berbanding amal yang banyak tetapi tidak konsisten.”

Pengajaran

1. Beramal biarlah dengan pengetahuan, nescaya amal kita menjadi sederhana dan fokus. Mereka yang beramal tanpa kefahaman yang baik, akan menjurus melakukannya secara ekstrem (berlebihan) dan tidak termasuk dalam kalangan mutadayyin.

2. Jaminan daripada Nabi S.A.W, ketaqwaan dan amal tidak mesti sepanjang masa atas tikar sejadah, bahkan keseluruhan hidup itu mesti difahami dengan makna ibadah. Bahkan tidur juga ibadah.

3. Tipu daya syaitan bukan hanya pada mereka yang lalai daripada agama, tidak solat, puasa dan lain-lain kebaikan, bahkan ia juga terjadi kepada golongan yang suka melakukan ketaatan. 

4. Memahami tujuan ibadah dan praktikalnya secara baik, akan menjadikan kita seronok untuk konsisten melakukannya sekali gus memperoleh nikmat ketenangan yang berkekalan.

Aisyah pernah menceritakan perihal lama dan berkualitinya solat malam Nabi S.A.W. Ia menjadi kayu ukur bagi kita bahawa solat itu harusnya menjadi tapak sumber ketenangan kita semua. 

(Sumber mafhum rujukan hadith akan diberi kemudian.)

Pedoman Baginda S.A.W itu praktikal untuk pelbagai lapangan dan keadaan. Bersyukur dan tambahkan kesyukuran.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 24/5/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -