Potensi industri kesihatan dan pelancongan di Kelantan

- Advertisement -

SAYA terbaca berita TDM, satu syarikat tersenarai di Bursa yang akan membangunkan sebuah hospital di Tunjung berdekatan dengan Stesen ECRL di Kota Bharu Sentral.

Sebagai pengamal perubatan dan anak negeri, saya sangat gembira serta berbangga. Pertamanya kerana Kelantan sangat awal menerajui perkhidmatan perubatan patuh syariah. Kedua kerana Kelantan sangat terbuka dan menarik untuk industri kesihatan berkembang.

- Advertisement -

Islam memuliakan wanita. Antara kunci kejayaan sebuah negara ialah rakyatnya yang ramai, produktif dan beragama. Seawal tahun 90-an, demi memelihara maruah dan kemuliaan wanita, Kelantan antara yang terawal menawarkan perkhidmatan kesihatan patuh syariah dengan menubuhkan hospital wanita dan kanak-kanak.

Kini generasi saya yang lahir dalam era Dasar Membangun Bersama Islam, tiada halangan untuk menjadi seorang pengamal perubatan profesional dan menawarkan perkhidmatan kepada rakyat Kelantan. Di serata jajahan, rangkaian klinik, farmasi dan pusat dialisis oleh generasi muda tumbuh dengan pesat serta klinik yang sekian lama menawarkan perkhidmatan, masih kekal beroperasi.

Selain TDM, Sunway juga merancang untuk membuka hospital berkapasiti 200 katil di Lembah Sireh. KPJ Perdana hasil usahasama syarikat milik Kerajaan juga akan melebarkan lagi perkhidmatan mereka melalui pembangunan blok baru.

Mereka yang mengikuti industri kesihatan dan pelancongan di Kelantan pasti tahu bahawa negeri ini sangat berpotensi untuk pelancongan kesihatan. Kedudukannya yang strategik berdekatan dengan Selatan Thai memberi satu kelebihan. Rakyatnya yang kaya tiada halangan untuk menjadi pelanggan kepada syarikat yang menawarkan perkhidmatan kesihatan. Cerita ‘ore kelate banyok pitih masuk hospital untuk rehat’ bukan satu benda asing bagi kami. Bukan dongeng ya!

Saya percaya suatu hari nanti kita akan melihat Kelantan menjadi destinasi istirehat dan pemulihan bagi pesakit dari Pantai Timur dan Selatan Thai. Pesakit gembira dengan perkhidmatan profesional dan berkualiti tinggi. Peneman pula gembira dapat menikmati makanan dan kemesraan rakyat Kelantan.

Inilah kebijaksanaan kerajaan negeri yang memanfaatkan penjawat awam dan badan korporat untuk membangunkan negeri. Dasar dan idea berasaskan Islam oleh pemimpin negeri diterjemahkan oleh agensi dan badan korporat. Bukti bahawa satu pemikiran ringkas menjaga wanita dan anak kerana Islam dapat menjana aktiviti ekonomi sebuah negara. 

DR SHAHID IZANI
Darulnaim Research Centre
Founder Rangkaian Klinik Sofea
Pengamal perubatan profesional – HARAKAHDAILY 10/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -