Kerajaan dicadang wujudkan sekolah agama elit di Pahang

- Advertisement -

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang dicadang supaya mewujudkan sekolah agama elit yang setaraf dengan sekolah berasrama penuh Kementerian Pendidikan Malaysia di negeri ini.

Ustaz Mujibur Rahman Ishak (PAS-Chenor) mengemukakan hal itu ketika mengambil bahagian dalam membahas titah Pemangku Sultan Pahang di Sidang DUN Pahang, di sini kelmarin. 

- Advertisement -

“Dengan adanya sekolah elit bertaraf lima bintang seumpama sekolah imtiyaz di Terengganu akan dapat menarik minat anak-anak Pahang untuk kekal belajar agama di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

“Ianya juga nanti bakal mengangkat kualiti dan martabat sekolah yang beraliran agama di negeri ini,” ujar beliau.

Katanya, kenaikan DG29 dan DG32 guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang memiliki ijazah dan ikhtisas diploma pendidikan perlu dinaikkan ke Gred 41 atau 42 dengan mengambil kira tangga gaji semasa sewajarnya. 

“Kenaikan gred ini adalah seiring dengan langkah yang diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia yang menaik taraf guru yang telah mencapai kelayakannya,” kata beliau.

Dalam pada itu juga, Ustaz Mujibur turut meminta kerajaan negeri dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memberi perhatian dan membantu berkenaan kenaikan gaji guru di bawah Amanah Saham Pahang (ASPA) yang berkhidmat di SMAN. 

“Guru ASPA ini sudah lama menerima gaji statik tanpa kenaikan gaji tahunan iaitu RM15,00 sebulan, kenaikan gaji yang sewajarnya perlu diberikan sesuai dengan khidmat bakti yang telah mereka curahkan. 

“Dengan mendapat gaji yang setimpal mereka tidak lagi terpaksa mencari sumber pendapatan sampingan untuk menyara keluarga disamping itu juga dapat memberi tumpuan yang lebih di sekolah,” ujarnya. 

Beliau juga meminta diselesaikan isu berkaitan majoriti guru di SMAN yang berstatus kontrak, menunggu tempoh lama untuk mendapatkan jawatan tetap kerana menunggu kuota kosong setelah guru berpencen atau meninggal dunia. 

“Status perjawatan tetap dalam kalangan guru adalah motivasi utama untuk mereka dalam menghasilkan kualiti pendidikan dan perkhidmatan yang terbaik,” ucap beliau. 

Dalam pada itu, Ustaz Mujibur turut meminta prasarana di SMAN dapat dinaiktaraf lagi oleh JAIP di mana pusat sumbernya perlu dilengkapi dengan buku-bulu terkini dan akses internet yang cukup. 

“Sebagai contoh SMAN yang menawarkan aliran sains perlu mempunyai makmal yang sempurna dari segi peralatannya. 

“Kemudahan komputer yang tidak cukup dan capaian internet tidak tersedia dengan baik bagi membantu guru dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) mereka,” ucapnya. – HARAKAHDAILY 1/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -