Hikmah cara Nabi S.A.W memakan kurma

- Advertisement -

ANTARA sunnah Nabi S.A.W apabila sesudah memakan kurma, Baginda akan meletakkan biji kurma di antara jari telunjuk dan jari tengah di bahagian luar tangan terus dari mulut Baginda, kemudian barulah Baginda S.A.W akan membuang biji tersebut.

- Advertisement -

Ini berdasarkan Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Busr R.A, beliau berkata:

نَزَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى أَبِي – قَالَ – فَقَرَّبْنَا إِلَيْهِ طَعَامًا وَوَطْبَةً فَأَكَلَ مِنْهَا ثُمَّ أُتِيَ بِتَمْرٍ فَكَانَ يَأْكُلُهُ وَيُلْقِي النَّوَى بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ وَيَجْمَعُ السَّبَّابَةَ وَالْوُسْطَى – قَالَ شُعْبَةُ هُوَ ظَنِّي وَهُوَ فِيهِ إِنْ شَاءَ اللهُ إِلْقَاءُ النَّوَى بَيْنَ الإِصْبَعَيْ.

“Rasulullah S.A.W pernah berkunjung ke rumah ayahku, lalu kami hidangkan makanan dan Watbah (sejenis makanan yang terbuat dari campuran susu, kurma dan keju) kepada Baginda, dan Baginda pun memakannya. Kemudian dihidangkan kurma kepada Baginda, lalu Baginda membuang biji (kurma) dengan kedua jarinya, iaitu dengan menggabungkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Syu‘bah berkata: ‘Itulah menurut perkiraanku Insya-Allah, iaitu Baginda S.A.W membuang bijinya di antara kedua jarinya.’” 

(Riwayat Muslim (2042))

Al-Qadi bin ‘Iyadh pula berkata: “Dan Baginda S.A.W tidak membuang biji kurma di tempat simpan kurma kerana hal ini dilarang dan dapat merosakkan makanan, membuat orang lain merasa jijik kerana tercampur kurma yang baru dengan biji yang keluar dari mulut. Dan ini merupakan sunnah Baginda S.A.W.” [Ikmal al-Mu‘lim, 6/525]

Hikmah daripada perbuatan Baginda adalah supaya bahagian telapak tangan tidak terkena air liur yang bercampur dengan kurma, di mana akan menyebabkan telapak tangan kotor dan tidak selesa. Dengan memakan kurma dengan cara sunnah ini, bahagian telapak tangan akan masih dalam keadaan bersih untuk digunakan.

Telusuri dan hidupkanlah sunnah dalam bulan yang mulia.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 13/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -