
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan menggerakkan kempen kesedaran bayaran zakat dalam kalangan petani dan penternak di Kelantan bermula Mei ini.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, program itu diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Katanya, kempen tersebut dilakukan memandangkan hasil zakat dalam kalangan petani dan penternak di Kelantan masih rendah.
“Kerajaan negeri memberi galakan cara menunaikan tanggungjawab tersebut melalui media sosial dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Kempen kesedaran keluarkan zakat dengan cara betul supaya sampai kepada pihak yang benar-benar layak termasuk melalui MAIK.
“Saya cadang turun ke peringkat jajahan bagi melihat kepelbagaian zakat pertanian dan zakat perniagaan yang boleh dikeluarkan petani dan penternak yang layak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program penerangan kesedaran zakat pertanian dan penternakan di Dewan Masjid Muhammadi Kota Bharu di sini semalam.
Turut hadir Mufti Kelantan, Dato’ Mohd Shukri Mohamad; Imam Tua Masjid Muhammadi Kota Bharu Khairul Azizi Mokhtar dan Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.
Terdahulu Mohd Shukri menyampaikan ucaptama yang bertajuk Muamalat Dalam Pertanian, menekankan kepentingan sektor pertanian dan zakat kepada pembangunan agama dan negara.
Nilai keseluruhan kutipan zakat tahun lalu berjumlah RM210 juta dan daripada jumlah itu RM830,952 merupakan sumber zakat pertanian dan zakat penternakan. – HARAKAHDAILY 26/4/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!