Bengkel penulisan LPMB DMPM usaha lahirkan penulis

- Advertisement -

Oleh UMMU ZAID

PARIT:
Bagi mendepani arus maklumat dan penyebaran maklumat sahih serta menyediakan tenaga penulis terlatih, Lajnah Penerangan dan Media Baharu Dewan Muslimat PAS Malaysia (LPMB DMPM) telah menganjurkan Bengkel Penulisan Pemberitaan, kelmarin.

Ketua Pengarang Harakah Cetak, Wan Nordin Wan Yaacob telah dijemput untuk membuat pengisian dalam bengkel yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi zoom meeting.

- Advertisement -

Dalam pembentangannya, Wan Nordin telah menerangkan konsep piramid terbalik yang harus diaplikasikan dalam menulis berita dengan menekankan kepada penggunaan ‘5W1H’ (what, who, when, where, why, how) dalam menyediakan input sesebuah berita.

Dalam bengkel itu, peserta didedahkan dengan berita adalah umpama piramid terbalik di mana pada struktur berita yang baik informasi utama yang terpenting digunakan sebagai kepala berita dan diikuti maklumat tambahan dalam perenggan yang berikutnya.

“Ia umpama sebuah piramid terbalik, yang isi penting semua ada di atas iaitu di perenggan pertama, kedua, ketiga dan mungkin ke empat. Selebihnya adalah tambahan maklumat yang menyokong berita itu,” kata pembentang yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia media.

Bengkel separuh hari itu disertai oleh penulis dari negeri-negeri yang mewakili Lajnah Penerangan Media Baharu peringkat Dewan Muslimat PAS negeri-negeri.

Seramai 100 orang peserta telah menyertai bengkel tersebut.

Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Najihatussalehah Ahmad yang turut hadir dalam bengkel tersebut sangat berharap agar ia dapat diteruskan lagi selepas ini.

Kata beliau, bengkel sebegitu boleh meningkatkan keupayaan penulis-penulis dalam kalangan muslimat.

Selain bengkel penulisan, LPMB DMPM turut menganjurkan Bengkel Pengurusan Media Sosial pada Sabtu lalu.

Fasilitator profesional, Dyana Ahmad AlIdrisi dijemput untuk mengisi slot bengkel tersebut.

Kedua-dua bengkel yang diadakan adalah hasil pelan tindakan yang telah dibuat oleh LPMB DMPM untuk sesi ini. – HARAKAHDAILY 26/4/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -