Kelantan peruntuk RM3 juta tanggung bil air pengguna

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bagi membantu mengurangkan beban rakyat, kerajaan Kelantan menanggung bil air pengguna yang tidak lebih RM30 sebulan sepanjang Ramadan ini.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, bekalan air percuma itu melibatkan 146,600 akaun pengguna.

“Sepanjang Ramadan ini bagi pengguna-pengguna bekalan air Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang mana jumlah bil tidak lebih RM30 akan ditanggung kerajaan.

- Advertisement -

“Sumbangan kerajaan negeri tersebut melibatkan implikasi kewangan lebih kurang RM3 juta,” katanya pada pengumuman khas sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini.

Selain itu menteri besar turut mengumumkan tambahan peruntukan untuk program rumah dhuafat sebanyak RM10.67 juta.

Pada Belanjawan 2022 Kelantan memperuntukkan sebanyak RM10.67 juta untuk program pembinaan rumah dhuafat di seluruh negeri itu.

Jumlah itu berlaku pertambahan sebanyak RM4 juta berbanding sebelumnya sebanyak RM5.6 juta. Pertambahan peruntukan tersebut mengambil kira kenaikan kos bahan-bahan binaan.

Kos setiap rumah dhuafat sekarang bernilai RM55,000 berbanding RM45,000 sebelum ini.

“Tambahan peruntukan program rumah dhufat itu sekali ganda berbanding peruntukan yang disediakan untuk tahun ini,” ujarya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Dato’ Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan negeri menyasarkan setiap Pusat Pengembangan Wanita Kelantan (PPWK) menghasilkan satu produk.

Katanya, sehingga sekarang beberapa PPWK yang berjaya menghasilkan produk sendiri termasuk PPWK Jelawat dan PPWK Bunut Payong.

Kata beliau PPWK Jelawat mengeluarkan beg batik yang mendapat sambutan menggalakkan di pasaran.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.5 juta untuk membantu usahawan wanita di Kelantan. Selain itu melantik 45 ketua usahawan wanita (Kak Wan) untuk membantu melahirkan lebih ramai usahawan wanita,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -