Bekalan air, elektrik terputus sebelum tanah runtuh

Sebelum kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya, Selangor pada 10 Mac 2022, penduduk dikejutkan dengan bekalan air dan elektrik yang terputus. (FOTO: YUSMAN AWANG/HarakahDaily)
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG dan SYAHIRAH SALLEH

AMPANG JAYA: Sehari sebelum kejadian tanah runtuh di cerun Taman Bukit Permai 2 di  sini, penduduk di situ dikejutkan dengan bekalan air yang terputus.

Menurut seorang penduduk yang tinggal di salah sebuah rumah teres di Jalan Teratai 1/2J di lokasi kejadian, Muhd Fakhrul Ariffin Abdul Rahim, 23, dimaklumkan bekalan air di situ terputus akibat berlaku paip pecah. 

- Advertisement -

Pada hari kejadian, Khamis 10 Mac lalu itu, Syarikat Air Selangor datang untuk membuat tindakan lanjut berikutan aduan penduduk di situ. 

Dan pada petang hari kejadian itu juga, menurut Muhd Fakrul berkata, dia dan keluarganya berasa pelik apabila tiba-tiba bekalan elektrik di rumahnya pula terputus kira-kira jam 5.50 petang.

“Sejurus selepas bekalan elektrik di rumah saya terputus itulah, kami tiba-tiba bunyi macam petir kuat di rumah, tetapi selepas merasakan ia kedengaran agak pelik, kami bergegas ke luar rumah dan mendapati berlaku tanah runtuh di cerun bukit  berhampiran rumah saya ini.

Muhd Fakhrul berada dalam di kediaman bersama keluarganya di Jalan Teratai 1/2 J, Taman Bukit Permai 2 ketika kejadian tanah runtuh berlaku di cerun tempat tinggalnya itu. (FOTO: SYAHIRAH SALLEH/HarakahDaily)

Menurut Muhd Fakhrul lagi, dia dan keluarga tidak terus melarikan diri, tetapi panik dan terkedu melihat kejadian tanah runtuh itu. 

Katanya, mereka cuba menyelamatkan kenderaan dan mengambil barang penting untuk keluar dari kediaman itu.

“Pada  jam 8 malam kami keluar rumah  dan bermalam di sebuah hotel berdekatan. Setelah dua malam menginap di hotel berkenaan, kami dimaklumkan pihak berkuasa sudah boleh pulang ke rumah masing-masing setelah situasi di lokasi kejadian dikenal pasti sebagai dalam keadaan selamat. 

“Walaupun begitu, kami sekeluarga masih bimbang terutamanya apabila ketika hujan dan pada waktu malam. 

“Saya dan keluarga kini dalam keadaan sentiasa bersiap sedia dikhuatiri jika keadaan sama berulang lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -