
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Setelah dua tahun program Madinah Ramadan tidak dapat diadakan disebabkan pandemik Covid-19, namun tahun ini ia bakal beroperasi bermula 1 Ramadan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, Madinah Ramadan akan beroperasi di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV seperti sebelum ini susulan peralihan fasa endemik negara bermula 1 April ini.
Bagaimanapun, menurutnya garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi memastikan kelancaran program yang dianjurkan.
Mengulas lanjut beliau berkata, hanya 500 individu dibenarkan menyertainya pada setiap malam sepanjang Ramadan dengan pematuhan ketat SOP sedia ada bagi mengelak penularan Covid-19.
“Setakat ini persiapan untuk menjayakan Madinah Ramadan sudah pun bermula termasuk mendirikan khemah di pekarangan stadium.
“Selepas negara beralih kepada fasa endemik, kita berharap sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini dapat diraikan seluruh umat Islam,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Beliau juga berkata Bazar Ramadan turut dibenarkan beroperasi di seluruh negeri itu dengan tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung syarat-syarat yang ditetapkan.
Dr Izani bagaimanapun meminta peniaga mematuhi SOP ditetapkan memandangkan aktiviti itu membabitkan orang ramai.
“Setakat ini permohonan untuk bazar Ramadan sudah diluluskan dan urusan seterusnya kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan. Jika di Kota Bharu di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
“Bazar Ramadan diuruskan oleh pemajak dan setakat ini sebanyak 13 tapak bazar akan dibuka,” katanya selepas menghadiri Program Gotong-Royong Pesisir Pantai di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini semalam. – HARAKAHDAILY 20/3/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!