
SYDNEY: Australia telah mengumumkan langkah menyaman pemilik Facebook, Meta atas susulan iklan penipuan untuk skim mata wang kripto yang secara palsu mendakwa disokong oleh tokoh terkemuka.
Suruhanjaya perlindungan pengguna Australia pada Jumaat (18 Mac) berkata ia telah memulakan prosiding Mahkamah Persekutuan terhadap Platform Meta kerana ‘perlakuan palsu, mengelirukan atau memperdaya’ yang melanggar undang-undang pengguna atau sekuriti.
Ia mendakwa Meta sebagai gagal melakukan langkah yang cukup bagi menghentikan iklan penipuan untuk mata wang kripto atau skim menjana wang, walaupun selepas dimaklumkan oleh beberapa selebriti yang telah dimanipulasi oleh iklan serupa yang diterbitkan di Facebook.
Meta dalam pada memberi reaksi berikrar untuk mempertahankan diri, dan berkata dalam satu kenyataan bahawa ia berusaha untuk menghentikan iklan penipuan dengan menggunakan teknologi untuk mengesan dan menyekatnya.
“Kami tidak menyokong iklan yang bermatlamat menipu orang ramai dengan tarikan wang atau mengelirukan mereka di Facebook, kerana ia melanggar dasar kami dan tidak baik untuk komuniti kami,” kata jurucakap Meta.
Konglemerat media sosial itu menegaskan, ia telah bekerjasama dengan penyiasatan Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia.
Terdahulu, suruhanjaya berkenaan mendedahkan iklan penipuan itu memaparkan warga Australia yang terkenal, termasuk bekas Perdana Menteri New South Wales, Mike Baird dan ahli perniagaan, Dick Smith.
“Namun personaliti berprofil tinggi yang dipaparkan dalam iklan itu tidak pernah meluluskan atau menyokong mereka,” kata pengerusi suruhanjaya itu, Rod Sims.
Menurutnya lagi, selain mengakibatkan kerugian yang tidak terkira kepada pengguna, iklan berkenaan juga telah merosakkan reputasi tokoh awam yang dikaitkan secara palsu dengan iklan tersebut.
“Meta gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk menghentikan iklan palsu yang menampilkan tokoh awam, walaupun selepas tokoh awam itu melaporkan kepada Meta bahawa nama dan imej mereka dipaparkan dalam iklan penipuan cryptocurrency sokongan selebriti,” katanya.
Suruhanjaya itu berkata ia menyedari seorang pengguna telah kerugian lebih daripada AU$650,000 (AS$480,000) dalam salah satu penipuan yang diiklankan secara palsu sebagai peluang pelaburan di Facebook.
“Ia sangat memalukan,” tegas Sims.
Sehubungan pihak berkuasa perlindungan pengguna berkata, ia sedang mendapatkan perintah daripada mahkamah termasuk injunksi, penalti dan pembayaran kos undang-undang. – AFP
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!