
AMPANG JAYA: Kejadian tanah runtuh berlaku lagi, kali ini di dua lokasi berlainan di Ampang Jaya, di sini susulan hujan lebat petang semalam membabitkan lima buah rumah terjejas dan 12 mangsa terpaksa berpindah.
Menurut laporan Awani yang menyebut kenyataan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak pada Khamis sebagai berkata, kejadian pada kira-kira jam 6.30 petang itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan.
Kesemua mangsa katanya, yang berjaya melarikan diri sebaik menyedari berlakunya tanah runtuh di kawasan berhampiran rumah mereka, memilih untuk menumpang di rumah saudara mereka, meskipun kerajaan tempatan menyediakan penempatan sementara.
Tambahnya, kejadian pertama tanah runtuh berlaku di Lot 18196 Kampung Kemensah Hulu Klang membabitkan empat buah rumah, yang mana dua buah rumah berpenghuni rosak akibat dilanda tanah runtuh manakala dua lagi rumah tanpa penghuni ketika itu turut terjejas namun tidak tertimbus.
Katanya lagi, salah sebuah rumah yang berpenghuni itu didiami enam rakyat Indonesia berstatus penduduk tetap, yang berusia lima hingga 41 tahun, manakala dua warga emas masing-masing berusia 67 dan 68 tahun yang juga berstatus penduduk tetap mendiami sebuah lagi rumah tersebut.
Menurutnya, di kawasan kejadian itu, bahagian bukitnya telah ditebas untuk aktiviti berkebun dan beberapa rumah pula dibina di cerun bukit untuk disewakan.
Lokasi kedua kejadian kata Mohamad Farouk, membabitkan sebuah rumah beralamat di 9A, Jalan Kolam Air Panas, Kampung Warisan, Taman Melawati di sini yang dihuni sepasang suami isteri bersama-sama dua anak mereka.
Dalam kejadian itu, katanya, tiada sebarang kerosakan dialami, cuma sisa runtuhan tanah melanda kawasan kaki lima belakang rumah berkenaan.
Tambah beliau, hasil pemeriksaan pihak jurutera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mendapati, kejadian tersebut disebabkan kerja-kerja membaik pulih jalan menuju ke Empangan Klang Gate.
Katanya, susulan hujan yang turun terlalu lebat semalam telah menyebabkan air hujan menghanyutkan pembinaan tersebut sehingga melimpah ke belakang rumah berkenaan. – HARAKAHDAILY 31/3/2022




















