Perlis perkasa amalan budaya kitar semula

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perlis melancarkan Pelan Strategik Agenda Perlis Bersih Sihat (2021-2025) ke arah memastikan negeri ini sentiasa bersih dan harmoni.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Azizan Sulaiman berkata, kesedaran dan tanggungjawab setiap anggota masyarakat perlu dipertingkatkan supaya pelan itu dapat direalisasikan.

“Walaupun urusan berkaitan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di bawah kerajaan Persekutuan, namun kita memberi komitmen menangani isu ini bersama,” katanya menjawab soalan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya juga kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM40,000 tahun lepas bagi menyediakan 18 tong sampah berpusat di 16 lokasi kritikal.

Manakala tahun ini sebanyak RM73,440 kos menambah tong sampah berpusat.

Selain itu katanya kerajaan negeri melaksanakan peraturan Industri, Komersial dan Institusi (ICI) terhadap pengusaha makanan, syarikat swasta dan penganjur pasar kecil swasta.

“Mereka diminta mengurus sisa sampah sendiri sehingga ke Tapak Pelupusan Rimba Mas,” katanya.

Beliau juga berkata, pembudayaan amalan kitar semula turut diperkasakan bagi mengelak orang ramai membuang barang yang boleh dikitar semula.

“Antara program yang dilaksanakan program Trash to Cash, Amal Jariah Melalui Barang Kitar Semula, Pusat Pandu Lalu Kitar Semula dan Program Kitar Semula Tinggi.

“Penguatkuasaan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) di bawah seksyen 47 dipertingkatkan dengan mengenakan denda tidak melebihi RM500 bagi mengatasi isu limpahan sampah,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -