Perlis laksana permohonan kahwin secara ‘online’

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) melaksanakan kaedah 4P (permohonan, penyiasatan, pendakwaan dan pendaftaran) bagi memudahkan pendaftaran perkahwinan di negeri ini.

Manakala bagi pendaftaran pasangan bukan Islam ia dikendalikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Exco Hal Ehwal Agama Islam; Kebajikan dan Bantuan Bencana dan Hubungan dan Kerjasama Sempadan negeri, Ruzaini Rais berkata, Perlis turut membangun Sistem Permohonan Perkahwinan Secara Atas Talian bagi memudahkan permohonan pendaftaran perkahwinan tanpa perlu hadir ke kaunter.

- Advertisement -

Katanya langkah itu bagi mempermudahkan urusan pendaftaran perkahwinan yang tidak berdaftar.

“JAIPs dan JPN tidak mempunyai data yang tepat dan sahih berkaitan pendaftaran yang tidak berdaftar.

“Kita mengharapkan setiap pasangan yang berkahwin terutamanya di Thailand untuk mendaftarkan perkahwinan mereka di negeri ini bagi memudahkan urusan kelak.

“Contoh isu yang akan timbul apabila pasangan terbabit menghantar anak mereka ke sekolah dan berkaitan pembahagian harta pusaka,” katanya menjawab soalan soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.

Menurutnya kebanyakan pasangan yang berkahwin di negara jiran terlibat dengan urusan poligami.

“Perlis satu-satunya negeri yang tidak mewajibkan suami yang ingin berpoligami mendapat keizinan isteri pertama dengan syarat segala maklumat dipersetujui mahkamah syariah negeri.

“Mereka juga perlu mendapat pengiktirafan Majlis Agama Islam Songkhla untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun beliau menasihati rakyat Malaysia tidak menggunakan khidmat sindiket kerana ia tidak diiktiraf pihak berkuasa agama Islam Thailand.

Beliau juga berkata, JAIPs melaksanakan program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) ke lokasi-lokasi tertentu untuk memberi khidmat nasihat berkaitan masalah perkahwinan. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -