
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah yang mempunyai lot-lot niaga yang masih kosong diharap dapat dimanfaatkan kepada peniaga di Kawasan Bebas Niaga.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, peniaga dan penjaja di Kawasan Bebas Niaga boleh memohon mendapatkan lot-lot kosong di PBT masing-masing.
Katanya lokasi baharu itu sebagai altenatif kepada Kawasan Bebas Niaga di Kedah yang akan berakhir hujung Disember depan.
“Saya tidak mahu bila sampai akhir tahun baharu nak ambil tindakan. Jadi perniaga boleh buat permohonan mulai sekarang dengan PBT.
“Kita akan lihat berapa ruang yang patut disediakan untuk pemohon dari Kawasan Bebas Niaga ini,” katanya di sini semalam.
Menurutnya juga lanjutan tempoh berniaga sebagai persediaan peniaga menghabiskan stok barangan serta mencari alternatif ruang perniagaan mengikut saluran yang dibenarkan.
Kawasan Bebas Niaga diwujudkan bermula 25 November 2020 untuk membantu meringan beban peniaga ketika era Perintah Kawalan Pergerakan disebabkan pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Lagi pun Ramadan dan Aidilfitri semakin hampir, lanjutan tempoh tersebut secara tidak langsung dapat membantu mereka menambah pendapatan sebelum diarah berpindah pada akhir tahun ini.
“Saya berharap apabila memasuki fasa endemik, peniaga Kawasan Bebas Niaga dapat berniaga di tempat perniagaan yang disediakan PBT untuk mengelak aktiviti perniagaan di tepi-tepi jalan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/3/2022











