Menteri harap kuota jemaah haji Malaysia bertambah

Senator Idris ketika menghadiri Persidangan Haji dan Umrah, baru-baru ini.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengharapkan penambahan kuota jemaah haji Malaysia daripada sebelum ini.

Menurutnya, beliau telah dimaklumkan masih tiada kuota yang khusus ditetapkan oleh Kerajaan Saudi kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji tahun ini.

Katanya, ketika beliau menghadiri lawatan kerja rasmi di Saudi, jelas memperlihatkan pemulihan yang sedang berlaku selepas fasa pandemik yang begitu memberi kesan terhadap pelaksanaan haji dan umrah yang menjadi tunjang ibadah bagi umat Islam di seluruh dunia.

- Advertisement -

“Saya dibentangkan dengan pelbagai maklumat yang terperinci di pihak Kementerian Haji sepanjang persidangan di sana..

“Dalam masa yang sama, pihak Konsulat Malaysia dan Tabung Haji membawa rombongan kami melawat di pelbagai tempat dan segala perjalanan yang berkaitan dengan Rukun Haji,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, ini memberi peluang kepadanya melihat sendiri bagaimana Kerajaan Saudi sedang dan berusaha dengan sangat baik bagi mempersiapkan segala keperluan bagi menyambut jemaah haji yang kelak bakal hadir sebagai tetamu Allah dan menunaikan Rukun Islam yang tertangguh dalam dua tahun akibat wabak Covid-19.

Namun, ujarnya hakikat yang perlu diketahui, masih banyak lagi operasi yang secara langsung melibatkan industri di sana tidak beroperasi sepenuhnya seperti pembukaan hotel dan rumah penginapan, restoran dan tempat makan dan minum dan beberapa lagi operasi perniagaan yang tidak dibuka sepenuhnya lagi.

Katanya, bagi mereka yang telah menunaikan umrah, pasti sedar situasi yang sedang berlaku di sana.

“Saya telah dimaklumkan masih tiada kuota yang khusus yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Saudi kepada semua negara yang bakal menghantar jemaah haji pada tahun ini, namun pelaksanaan ibadah haji akan tetap diteruskan dan pastinya ia adalah berita gembira buat umat Islam di seluruh dunia,” katanya lagi.

Maka, ujar beliau bagi pemakluman kuota ibadah haji, pihak Tabung Haji akan sentiasa menantikan perkembangan positif daripada Kerajaan Saudi untuk umat Islam di negara ini bersedia menjadi tetamu Allah pada tahun ini.

“Pastinya saya mengharapkan penambahan kuota daripada sebelum ini, supaya boleh memberi lebih banyak peluang kepada umat Islam di Malaysia menunaikan Rukun Islam yang sangat besar ganjarannya di sisi Allah SWT,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengambil peluang untuk menjelaskan kerunsingan headline daripada beberapa petikan akhbar berkenaan tiada penambahan kuota haji.

“Sekali lagi, tiada keputusan rasmi yang dibuat dan ianya bukan hanya melibatkan negara kita semata-mata, tetapi semua negara yang bakal menghantar jemaah haji, dan penantian untuk melaksanakan ibadah ini pada tahun ini, insya-Allah bakal dilaksanakan.

“Teruskan berdoa, dan berharap kepada Allah SWT agar Allah memanggil kita sebagai tetamu-Nya pada tahun ini,” tambahnya.  

Menurutnya, dengan prestasi yang cukup membanggakan oleh Tabung Haji terhadap pengurusan jemaah haji, sehingga menjadi benchmark di rantau Asia dalam pengurusan ini, beliau optimis ibadah haji bagi umat Islam di Malaysia adalah satu rahmat yang dinantikan dengan penuh sabar dan reda. – HARAKAHDAILY 31/3/2022

- Advertisement -