Salahkah hulur bantuan kemanusiaan ke bumi Afghanistan?

Tuan Guru Abdul Hadi selaku Utusan Khas Perdana Menteri Ke Timur Tengah mengadakan dialog dengan Ketua Tetap Misi Emiriah Islam Afghanistan ke PBB, Sheikh Mohammed Suhail Shaheen di Doha, Qatar, 3 Feb lalu.
- Advertisement -

Oleh M FAQIH

KETIKA
perang tujuh negara Arab berdepan dengan zionis haram Israel pada 1949 kemenangan bukan milik negara Arab, sebaliknya zionis.

Pelik, sebuah negara kecil menang berperang lawan tujuh negara. Ia menyimpang daripada lojik akal. Lazimnya seorang lawan tujuh, tentunya seorang yang tewas.

Lalu ada orang bertanya kepada Jamal Abdel Nasser, mengapa tujuh negara Arab tewas hanya melawan satu Israel. Nasser menjawab, ‘Itulah sebabnya kami kalah, mereka bersatu sedangkan kami pecah tujuh,’.

- Advertisement -

Apa mesej yang hendak digambarkan, tidakkah ia menggambarkan amat perlu perpaduan. Lebih-lebih lagi ketika perang.

Peristiwa itu berlaku ketika perang, bagaimana pula ketika aman. Apakah hasrat mahu membantu negara umat Islam bernama Afghanistan perlu dipersendakan.

Sedangkan dalam Islam menghulur bantuan kepada saudara yang susah besar ganjarannya.

Namun, ada politikus sekarang melihat sebaliknya. Tengok kenyataan dikeluarkan pemimpin Parti Amanah Negara. Dengan jawatan Timbalan Presiden selayaknya seseorang itu dilihat cukup hebat.

Namun, keadaan sebaliknya berlaku. “Tindakan gopoh serta aneh Abdul Hadi yang mewakili Malaysia diperhati seluruh dunia memberi imej yang buruk kepada negara.

“Pertamanya, kerajaan Malaysia masih tidak secara rasmi mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan,” kata Salahuddin Ayub seperti dilapor media.

Mengapa pemimpin yang pernah berjawatan menteri pertanian 22 bulan itu berminat untuk mengulas isu tersebut.

Tentunya ia ada strategi. Afghanistan sekarang diterajui Taliban. Sebelum ini yang acap mengaitkan PAS dengan Taliban ialah DAP.

Jadi apabila pemimpin PAS menyebut tentang Afghanistan, Amanah seperti girang menyambutnya. Setidak-tidaknya dapat mengulang naratif lama.

Ternyata tidak ramai yang bergelar pemimpin memahami maksud diungkap Jamal Abdel Nasser. Setidak-tidaknya kita menjadi juara untuk mempertautkan persaudaraan Islam.

Taliban sebagai penyelamat

Afghanistan sebuah negara umat Islam. Kemunculan semula Taliban dianggap ramai pemikir Islam sebagai penyelamat. Mengapa tidaknya. Rakyat negara itu menolak kerajaan nasionalis Afghanistan yang mentadbir sebelum ini.

Rasuah menjadi amalan bermula dari pegawai kerajaan sehingga pemimpin politik. Ketika kejatuhan kerajaan nasionalis tajaan Barat, ada pemimpin negara itu membawa keluar RM210 juta.

Malah media antarabangsa melaporkan bekas presiden negara itu membawa lari RM7.4 juta dengan empat kereta. Kebejatan yang berlaku itu memudahkan Taliban 2.0 kembali menguasai semula Afghanistan.

Kepulangan tentera antarabangsa diketuai Amerika Syarikat sejak menguasai negara itu pada 2001 disambut girang rakyat.

Rakyat gembira penjajah telah tewas dan kerajaan boneka tumbang. Mengambil kira kesukaran dihadapi rakyat Afghanistan apa salahnya Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah menawarkan bantuan dan sokongan.

Perkara itu dikongsi Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Qatar baru-baru ini. Namun, peliknya tiba-tiba ada pemimpin Melayu menyifatkan sebagai terburu-buru.

Pemimpin itu juga menyifatkan Presiden PAS mendahului kabinet membuat pengumuman tersebut. Ternyata pemimpin terbabit seperti mahu memancing dengan mengaitkan PAS dan Taliban.

Namun, perkiraan itu nampaknya tersasar. Timbalan Menteri Luar Kamaruddin Jaffar sebelum ini juga ada menyebut bantuan kepada Afghanistan. 

Bantuan kemanusiaan berbeza jauh dengan diplomasi politik. Tidak bermakna menghulur bantuan kemanusiaan sebagai mengiktiraf Taliban 2.0 di Afghanistan.

Malah pada 14 September 2021 Malaysia membuat kenyataan sedia menghulurkan sumbangan kewangan sebanyak AS$100,000 untuk membantu rakyat Afghanistan.

Perkara itu diumumkan Menteri Luar, Saifuddin Abdullah ketika menyertai Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan.

Persidangan secara maya itu dikelolakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres.

Malah, tahun lepas Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC) Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Ahmad Azam Ab Rahman dilantik sebagai penasihat khas mengenai Afghanistan, Kementerian Luar.

Dalam usaha itu mengapa pemimpin Amanah Negara mengambil pendekatan berbeza. Ada baiknya pemimpin terbabit turut mendukung perkara tersebut. Afghanistan negara umat Islam, bukan Israel.

Taliban 2.0 berbeza dengan Taliban 1.0. Kata bekas profesor di UTM Dr Kamaruzaman Yusoff ada baiknya umat Islam mengikuti laporan Al Jazeera dan TRT World Turki untuk mengetahui apa yang berlaku di Afghanistan. 

Sedangkan fokus utama lawatan Duta Khas PM untuk menzahirkan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Qatar dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.

Malangnya ada pemimpin sebelah sana buat tidak faham-faham. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -