PAS Kedah ucap takziah atas kematian Fathorahman

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS Kedah merakamkan ucapan takziah atas kematian mantan Setiausaha PAS Kawasan Merbok, Fathorahman Ahmad, awal pagi tadi.

Pesuruhjayanya, Senator Dato’ Ahmad Yahaya berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 2.30 pagi.

“Kematian ini merupakan satu kehilangan yang besar bagi PAS dan masyarakat. Allahyarham ketika hayatnya merupakan penggerak utama pentadbiran jamaah, majlis ilmu dan kerja-kerja kebajikan,” kata beliau.

- Advertisement -

Menurutnya, Pengerusi Surau Al-Firdaus Sungai Lalang itu juga seorang sahabat yang mengambil berat soal ukhuwah serta perkembangan jamaah.

Ahmad berkata, Fathorahman bukan sahaja penggerak PAS yang aktif di kawasan Merbok, malah banyak melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan bersama masyarakat luar.

“Suaranya pasti dirindui. Dia kerap kali mengingatkan saya tentang jadual kuliah pengajian, tazkirah Ramadhan, kutipan derma untuk sekolah, bilik rehat di surau, jamuan serta permasalahan jamaah,” ujarnya lagi.

Katanya, beliau bersaksi kebaikan, pengorbanan dan kesungguhan Allahyarham untuk agama Allah dan pastinya jasa tetap dikenang.

“Semoga Allah menerima segala amal bakti serta jihadnya. Berehatlah dari kesakitan dunia dengan kenikmatan ganjaran kebaikan dari Allah,” tambah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu lagi.

Justeru itu beliau mengharapkan seluruh ahli keluarga Allahyarham bersabar di atas kehilangan insan yang mereka sayangi.

Allahyarham diberi amanah sebagai Setiausaha PAS Kawasan Merbok sejak beberapa penggal namun terpaksa melepaskan jawatan itu atas faktor kesihatan.

Beliau juga merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pelawat, Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. – HARAKAHDAILY 6/2/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -