PRU15: Orang muda mahu melihat penyatuan, muafakat

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

RAMAI dalam kalangan rakyat khasnya anak muda mahu penyatuan ummah terus kekal dan diperkukuhkan lagi untuk mengemudi negara. Malah ia juga adalah hasrat sebilangan besar anak muda yang mahu penyatuan ummah menjadi satu asas kepada kestabilan politik di negara ini.

- Advertisement -

Bagi bekas Setiausaha Agung Umno yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa, penyatuan ummah harus diperkasakan lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ikuti wawancara wartawan HARAKAHDAILY, SYAHIRAH SALLEH dengan beliau baru-baru ini bagi mengupas mengenai penyatuan ummah.

HARAKAHDAILY: Seperti yang kita tahu, hubungan PAS dan Umno dalam MN (Muafakat Nasional) kelihatan sedikit bergelora. Mungkin Tan Sri boleh kongsikan bagaimana dulu penyatuan ini boleh berlaku dan apa antara usaha yang kit akan buat supaya MN terus subur dalam penyatuan Ummah.

ANNUAR: Saya tak anggap sekarang ini bergelora. Sebenarnya pada saya, ia satu situasi di mana sesetengah pihak dia bertindak balas kepada sesetengah keadaan. Dan saya jangkakan itu tidak mengubah perkara-perkara yang bersifat dasar, sebab dalam politik ini ada perkara dasar, ada perkara sentimen. Sentimen dipengaruhi oleh keadaan-keadaan pada sesuatu masa, tapi kalau dasar, itu kena berpaksikan kepada prinsip-prinsip yang tertentu.

Jadi muafakat atau kerjasama di antara Umno dan PAS waktu kita gerakkannya dulu, itu adalah satu perkara yang mendasar. Sebab itu dia dibuat secara teratur. Ada persefahaman dan semasa diadakan perbincangan dulu. Kita menetapkan apakah premis-premis kerjasama.

Sebagai contoh, dan ini ditulis dalam MoU dahulu. Kita memilih untuk berta’awun dan bertahaluf adalah kerana berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Kita merasakan umat akan hanya menjadi kuat kalau kita bermuafakat, kita bekerjasama. Kita mencari titik persamaan, dan kita meletakkan kepentingan ummah itu sebagai yang paling penting.

Itu yang pertama, yang kedua, jika kedua-dua Umno dan PAS menerima hakikat, kita perlu ambil tanggungjawab untuk melihat agar orang Melayu dan Islam kuat dalam politik nasional. Jadi ini semua adalah asas atau fundamental dalam pemikiran politik, daripada asas-asas itu maka terbentuklah kerjasama, sebab itu pada saya asas-asas itu belum berubah.

Saya percaya, PAS pun berpegang kepada prinsip yang sama. Kita memperjuangkan kepentingan agama. Kita berasaskan kepada panduan-panduan yang ada dalam agama kita bersandarkan Al-Quran dan Hadis. Kita juga percaya bahawasanya Umno dan PAS adalah teras. Kalau tanpa Umno dan PAS, penyatuan Islam itu tidak lengkap dalam negara kita.

Jadi daripada dulu sampai sekarang, pada saya ‘privasi’ itu tidak berubah, cuma sekarang ini circumstances menyebabkan segelintir kecil merasakan situasi berbeza, iaitu soal nak terima atau tidak mahu terima Bersatu.

Bagi saya itu bukan asas. Bersatu adalah hanya satu lagi parti politik. Ada baik ada buruk, ada pro, ada kontra. Ada asas yang kita letak ikut soal bangsa, soal agama. Soal pegangan kita pada ajaran Al-Quran, Al-Sunnah dan sebagainya. Jadi, benda ini saya kata tadi, circumstances di mana personaliti tertentu mungkin tidak begitu lunak dengan pimpinan Bersatu.

Itu pada saya bukan perkara dasar. Itu personaliti, itu pendapat. Itu sentimen yang boleh berubah pada bila-bila masa sahaja. Kalau tanya saya, pada saya, asas masih lagi kekal pada asas yang sama. Umno dan PAS tidak boleh berpatah arang, berkerat rotan.

Dan ramai di kalangan rakyat jelata, dalam kalangan orang Islam, hatta juga dalam kalangan ahli-ahli Umno yang masih mahu melihat Umno dan PAS terus mendukungi politik negara secara bersepakat. Sebab itu saya kata yang sekarang ini hanyalah satu situasi sementara sahaja dan kita perlu mengawal keadaan itu supaya jangan membarah.

Jangan orang kata makin rosak. Jadi kena ada usaha-usaha yang berterusan dalam kalangan pemimpin-pemimpin yang berkesedaran untuk mempastikan tidak terputus hubungan antara Umno dan PAS. Sebab keadaan akan berubah lagi, Kita bimbangi nanti akan berubah lagi, pilihan raya belum datang lagi. Jadi usaha kena dibuat supaya tali hubungan yang ada, ikatan yang ada itu tidak terputus sama sekali.

Jadi saya harap, kalau orang faham apa yang saya katakan tadi, antara situasi semasa dengan dasar, kita kena beza. Fundamental remain the same, hal semasa kita akan uruskan.

Mungkin boleh kongsikan bagaimana caranya untuk kita tarik anak muda undi MN dalam PRU15 ini?

Kita kena faham begini, orang muda sekarang adalah orang muda terpelajar. Orang muda sekarang mereka hendak melihat benda yang baik untuk masa depan mereka. Mereka tidak mahu lagi melihat politik yang jelik, politik yang tidak menjamin. Malah mereka mahu agar aspirasi mereka dapat dicapai.

Mana-mana parti politik yang boleh menunjukkan aspirasi yang memenuhi hasrat golongan muda, maka parti itu akan mendapat sokongan. Satu daripadanya saya rasa orang muda mahu melihat kepada penyatuan, muafakat. Orang muda tidak mahu melihat politik jelik seperti sebelum ini. Politik bergaduh, politik berpecah, politik kata mengata, atau politik yang bersifat ekstrem.

Pada pengamatan saya, saya merasakan orang muda hendak melihat parti yang benar-benar kekal prestasi, parti yang cakna, parti yang dapat tumpukan perhatian menjalankan agenda rakyat. Mereka mahu melihat parti yang dapat menampilkan agenda-agenda yang boleh menjamin masa depan mereka.

Jadi pada saya, muafakat antara Umno dan PAS itu adalah sebahagian daripada aspirasi pengundi muda, saya sorang saya yakin begitu. Kalau sesiapa memilih untuk Umno dan PAS berpecah, mereka akan hilang sokongan anak muda. Malah jika kita hendakkan pengundi muda bersama kita pada PRU akan datang, Umno dan PAS perlu cari jalan supaya bersama. Insya-Allah kita akan dapat sokongan orang muda.

Saya difahamkan Tan Sri akan buat satu rangkaian dakwah. Adakah itu satu usaha untuk mencegah dan membina ketahanan diri masyarakat?

Saya rasa input ‘chanel-chanel’ yang membina nilai-nilai keagamaan dan menyampaikan elemen dakwah itu tanggungjawab kita. Kita tahu dalam dunia sekarang, saluran ada bermacam-macam termasuk ada saluran negatif. Sementara kita tidak boleh padamkan yang negatif, kenapa tidak tambah yang positif? Itu pendekatan saya. Jadi kita cuba kawal yang negative. Tetapi yang positif ini ada ruang-ruang yang saya nampak supaya kita boleh tambah, supaya dakwah Islamiah itu dapat diperluaskan.

Sekarang ini pun kita banyak program keagamaan dalam RTM1, dalam RTM2 dan juga dalam TV Hijrah. Tetapi kalau kita dapat ada satu chanel khusus. Satu lagi dia dalam platform RTM. Dan kita boleh adakan jugak dalam Astro dan dalam Unifi TV, chanel yang dikendalikan RTM. Maka lebih banyak air time dapat diberikan. Dan kita dapat masukkan program-program berkualiti, yang mempunyai asas keagamaan yang kukuh dan kuat dengan kerjasama JAKIM dan sebagainya. Maka itu akan lebih bermanfaat. Sebab kalau semua hendak masuk dalam RTM1, jadi tepu di situ. Masa airtime adalah terbatas.

Jadi saya telah beritahu kepada pentadbiran untuk mula buat kajian untuk mempunyai satu lagi chanel khusus untuk program dakwah dan keagamaan yang berkualit tinggi. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -