
MARAN: Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Kawasan Maran dan Jabatan Amal Malaysia Maran telah memulakan operasi pembersihan premis-premis awam di sekitar bandar ini, di sini semalam.
Inisiatif pada masa ini tertumpu ke surau dan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir di mana menyebabkan air naik sehingga paras satu meter di Taman Maran Jaya dan Surau Al-Hidayah Kampung Sungai Chedong.
Ketua Pemuda PAS Maran, Ustaz Abdul Latif Abdul Halif dan Ketua Operasi Khidmat Malaysia Maran, Salahudin Yaakub serta Komander Amal Maran, Mohd Amin Abdul Zahar memimpin kerja bersama 30 anggota itu.
“Sebanyak 10 rumah telah dapat dibersihkan hari ini dan operasi akan diteruskan lagi pada hari-hari berikut. Khidmat dan amal diberikan ini bagi membantu masyarakat sekadar kemampuan kami,” ujar Ustaz Abdul Latif.
Salahudin dalam pada itu memberitahu bahawa tugasan seumpama telah menjadi kebiasaan anggota dari PAS Maran dan berharap usaha itu meringankan beban mangsa serta moga mereka tabah dan bersabar.
Sebarang masalah boleh berhubung langsung dengan beliau di talian 013-995 4680 atau langsung ke Bilik Gerakan Khidmat Malaysia Maran di Markas Tarbiyah PAS Maran, Kampung Embun.
Para dermawan juga dialukan memberi sumbangan menerusi akaun Maybank 5560 5750 7142 atas nama Tabung Kebajikan PAS Maran bagi menampung keperluan operasi. – HARAKAHDAILY 21/12/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!