
KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, pagi ini saya dan Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris Ahmad telah memasuki pejabat di Kompleks Islam Putrajaya secara rasmi,” kata Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, mereka diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohammad Ismail dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.
Beliau menerusi satu hantaran di laman Facebooknya turut mengucapkan terima kasih kepada ketua-ketua agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal Agama) yang turut hadir bersama meraikan kehadiran mereka di pejabat itu.
Katanya, dalam sesi bersama dengan warga agensi, Idris telah menyatakan iltizam untuk mendukung hasrat Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri bagi menerapkan semangat Keluarga Malaysia dalam setiap perancangan yang dirangka.
“Dengan lafaz Bismillah, saya mengharapkan doa semua, mudah-mudahan kepimpinan kami kepimpinan yang diberkati, dan perjalanan kami perjalanan yang diredhai,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa. – HARAKAHDAILY 1/9/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!