
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh Ahli Dewan Rakyat, sama ada dalam atau luar kerajaan supaya menggembleng tenaga untuk memulihkan semula keadaan negara.
“Marilah kita, dengan fikiran terbuka dan dada yang menerima, mencungkil persamaan dengan tidak lagi menggali perbezaan.
“Kita perlu bersepakat untuk menyelamatkan keluarga kita, iaitu Keluarga Malaysia,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan sulung sebagai Perdana Menteri hari ini.
Menurutnya, beliau menggunakan pendekatan Keluarga Malaysia kerana frasa itu sifatnya lebih inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa, dan kaum.
“Di mana, kita menyedari kewujudan sesebuah keluarga yang berkahwin dengan pelbagai bangsa dan agama, tetapi nilai kekeluargaan telah mengikat mereka semua,” ujarnya.
Sebab itu, tambahnya konsep Keluarga Malaysia diambil kerana bagi beliau keutuhan negara terikat dengan nilai-nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga.
“Kita adalah sebagai satu keluarga tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Setiap daripada anda adalah seperti keluarga saya sendiri – sama ada anak muda, mahupun yang telah berusia.
“Kita diibaratkan saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, beliau menginsafi kepayahan, kesengsaraan, dan keperitan hidup yang mencengkam semua di mana ada yang hilang mata pencarian, ada pula yang putus bekalan makanan, dan bukan sedikit yang telah dibuang kerja.
“Saya memahami keringat dan nilai sesuap nasi, kerana saya lahir dan membesar dalam keluarga anak petani yang susah.
“Oleh sebab itu, saya sangat menghayati kepayahan dan keperitan hidup rakyat pada masa negara sedang menghadapi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak ini,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah berusaha sepenuh tenaga dalam menghadapi kemelut yang melanda negara bersama-sama ahli-ahli Jemaah Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dengan penuh rasa insaf dan bersyukur, beliau juga menzahirkan rasa terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat yang setia menyokong saya daripada Umno, MCA, MIC dan PBRS di bawah panji Barisan Nasional (BN).
Tambahnya, penghargaan turut dizahirkan kepada rakan-rakan Ahli Dewan Rakyat daripada PPBM, PAS, GPS, STAR, PBS, SAPP, juga Ahli-ahli Dewan Rakyat Bebas yang memungkinkan terbentuknya kerajaan pada hari ini. – HARAKAHDAILY 22/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!