
KUALA LUMPUR: Dalam situasi pandemik Covid-19 yang semakin melonjak, Majlis Syura ‘Ulamak mengajak rakyat bersatu hati memberi mandat kepada kerajaan dengan sokongan barisan hadapan untuk menguruskan kesihatan rakyat dengan baik.
“Marilah kita sentiasa berfikiran positif serta bersikap optimis bahawa kita pasti berjaya menghadapi saat sukar ini,” ujar Mursyidul ‘Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dalam satu kenyataan, hari ini.
Ini, katanya sebagaimana firman Allah Taala dalam surah al-Talaq, ayat 7 yang bermaksud: Dan Allah akan jadikan selepas kesukaran itu hadirnya kesenangan.
Beliau berkata, perbezaan fahaman politik pada situasi pandemik ini sewajarnya diketepikan bagi mengelak krisis politik negara yang boleh mengganggu perpaduan rakyat dalam menghadapi pandemik.
Tambahnya, semua individu rakyat juga diseru tampil segera mendapatkan suntikan vaksin agar megara kita berjaya mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.
“Marilah kita bersama meneruskan munajat dan doa kepada Allah agar pandemik Covid-19 ini segera berakhir,” ujarnya lagi.
Menurutnya, antara yang boleh sentiasa dizikirkan ialah ungkapan حَسْبُنَا اللَّهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلُ yang bermaksud: Cukuplah Allah bagi kami (sebagai penolong) dan Dialah sebaik-baik pengurus (tempat berserah), yang terdapat dalam surah Aali Imran, ayat 173.
Beliau menjelaskan zikir itu menggambarkan pergantungan dan penyerahan diri secara mutlak kepada Allah dalam menghadapi ujian besar musibah yang melanda dunia ini. – HARAKAHDAILY 5/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!