
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Seramai 577,148 orang atau kira-kira 37.5 peratus daripada 1.54 juta penduduk negeri ini yang mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), telah menerima dos pertama suntikan vaksin setakat 31 Julai lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, berkata seramai 298,611 orang atau 19.4 peratus pula lengkap menerima dua dos suntikan bagi tempoh yang sama.
Berikutan perkembangan menggalakkan itu, beliau yakin bilangan penerima satu dos suntikan vaksin mampu meningkat sehingga 40 peratus pada Ogos ini.
Bagaimanapun, katanya kira-kira 20 peratus penduduk negeri ini yang berumur 18 tahun ke atas masih belum mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Kerajaan telah melakukan pelbagai usaha untuk mengekang penularan wabak ini di Kedah. Saya harap baki yang belum mendaftar akan segera berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Dr Mohd Hayati berkata, kerajaan negara ini memperkenalkan PICK pada 25 Februari lalu sebagai antara langkah untuk membendung penularan wabak ini dan melindungi rakyat daripada menerima kesan jangkitan yang teruk.
Beliau berkata, sebanyak 1,389 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan pada 31 Julai lalu menjadikan jumlah keseluruhan kes penyakit itu di negeri ini adalah sebanyak 45,631 kes dengan kes aktif sebanyak 13,196 kes.
Katanya, jumlah kes baharu pada 31 Julai lalu adalah paling tinggi di negeri ini sejak wabak Covid-19 melanda negara ini pada Februari tahun lalu.
Adun Tokai itu berkata, keadaan itu amat membimbangkan, terutama dengan kemunculan virus varian baru seperti varian Beta (varian Afrika Selatan) dan varian Delta (varian India) yang lebih cepat merebak.
“Virus varian baharu bukan sahaja membahayakan golongan warga emas dan berisiko tinggi, malah golongan muda berumur bawah 40 tahun,” katanya.
Bagi tempoh antara 25 hingga 31 Julai lalu, sebanyak 8,370 kes baharu dilaporkan dengan 31 kematian yang sebahagian besar berlaku di daerah Kuala Muda, iaitu sebanyak 13 kes.
Selain itu, katanya 18 kematian membabitkan kes kematian di luar hospital atau BID (brought in dead) yang mungkin berlaku kerana pesakit lambat mendapatkan rawatan atau pesakit tiada bergejala.
Sementara itu, katanya sebahagian besar kes yang dikenal pasti adalah hasil jangkitan melalui saringan kontak rapat, iaitu 4,170 kes (49.8 peratus), manakala punca lain adalah melalui saringan bergejala, bersasar, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Orang Kena Tahan (OKT), penjara dan praoperasi.
Sepanjang tempoh yang sama juga, katanya 15 kluster baharu dilaporkan, iaitu masing-masih tujuh dari kluster komuniti dan industri serta satu kluster tempat kerja.
Dr Mohd Hayati menasihat penduduk negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.
“Terus tinggal di rumah jika tiada keperluan di luar. Pakai pelitup mulut dan hidung di luar rumah, tidak berjabat tangan atau bersentuhan dengan orang lain dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya.
“Mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif Covid-19 dan di kehendaki kuarantin di rumah, perlu patuh kepada peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!