Transformasi Felda memakmurkan peneroka

- Advertisement -

LAJNAH Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat mengucapkan Selamat Menyambut Hari Peneroka Felda 2021 Peringkat Kebangsaan buat seluruh peneroka Felda di dalam negara.

Didoakan agar masa depan seluruh peneroka akan terus terbela dan terpelihara serta beroleh kehidupan yang diberkati, diredai dan bertambah baik buat masa ini serta tahun-tahun mendatang.

Bermula awal tahun lalu hingga ke hari ini, negara berdepan dengan situasi getir yang membabitkan penularan wabak pandemik Covid-19 yang begitu mencengkam kehidupan rakyat termasuk juga dengan para peneroka Felda terutamanya dari sudut ekonomi.

Namun pastinya kerajaan berusaha sedaya mampu membantu seluruh rakyat dengan pelbagai pakej pelan pemulihan ekonomi dan bantuan langsung seperti PENJANA dan PEMULIH yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini.

- Advertisement -

Tentunya keadaan ini memberi kesan kepada para peneroka di seluruh negara namun pastinya Felda yang diterajui oleh Dato’ Seri Idris Jusoh berserta seluruh anggota pentadbiran dan kakitangan Felda di seluruh negara akan berusaha membantu para peneroka yang terkesan terutamanya dari sudut ekonomi.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini Felda telah mula menunjukkan tanda-tanda positif ke arah pemulihan dan beberapa tindakan telah diambil bagi memastikan Felda kembali ke landasan asal dan tujuan penubuhannya iaitu membantu dan meningkatkan taraf kehidupan para peneroka.

FGV yang menjadi bualan hangat dahulu kini telah dikuasai sebanyak 81 peratus oleh Felda. Oleh yang demikian, Felda semestinya akan berusaha untuk menyelesaikan pelbagai permasalahan FGV terutamanya yang membabitkan tanah dalam Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) yang telah dipajakkan kepada FGV semasa disenaraikan di BSKL tidak lama dahulu.

Penyata hutang peneroka yang hampir 20 tahun tiada penyelesaian kini telah hampir dimuktamadkan. Begitu juga dengan pembinaan rumah untuk generasi kedua Felda yang telah mula kembali dirancakkan pembinaannya termasuk yang terbengkalai sebelum ini sudah tentu melegakan para peneroka.

Harga minyak sawit mentah yang kembali melonjak tinggi di pasaran dunia pastinya memberikan kelegaan yang amat besar kepada para peneroka di seluruh negara terutamanya dalam mendepani keadaan yang amat mencabar ketika ini.

Begitu juga dengan beberapa penambaikan yang telah dilakukan oleh Felda dalam usaha untuk memastikan Felda mahupun para peneroka memperolehi manfaat sama ada di saat ini mahupun di masa hadapan wajar diberikan penghargaan.

Namun begitu dalam usaha untuk terus memantapkan Felda serta membela nasib peneroka agar terus berdaya maju dan memperolehi manfaat yang lebih baik di masa hadapan terutamanya dari sudut ekonomi, anjakan serta transformasi ke arah pertanian moden dengan menggunakan teknologi terkini perlu dilakukan sebaik mungkin.

Kebergantungan kepada tenaga kerja warga asing terutamanya di sektor perladangan perlu dikurangkan semaksimum mungkin dengan menawarkan peluang pekerjaan termasuk imbuhan yang lebih baik kepada generasi baharu Felda dengan menggunakan peralatan dan jentera moden serta teknologi pintar bagi menarik minat mereka untuk berkerja.

Felda yang mempunyai begitu banyak sektor hiliran dalam industri yang diceburinya perlu memanfaatkan graduan-graduan yang ada dikalangan generasi baharu Felda dengan menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Sektor hiliran tersebut jika diperluas dan dimanfaatkan sebaiknya seperti membuka industri hiliran di kawasan-kawasan Felda mampu memberikan peluang pekerjaan kepada generasi baharu Felda di kawasan-kawasan terbabit.

Tanah-tanah kosong yang tidak diusahakan di kawasan-kawasan Felda juga boleh dimanfaatkan oleh para peneroka dalam usaha menambahkan pendapatan serta membuka peluang kepada generasi baharu untuk menceburi bidang pertanian moden berskala kecil dalam usaha menjana pendapatan.

Menggalakkan warga Felda terutamanya generasi baharu Felda untuk menceburi bidang perniagaan dengan membuka lebih banyak ruang niaga di kawasan Felda atau secara atas talian mampu mengelakkan penghijrahan anak muda ke bandar seterusnya membangunkan ekonomi di kawasan Felda masing-masing.

Menggalakkan industri untuk melabur atau membina kilang yang bersangkutan dengan perniagaan Felda di kawasan Felda juga adalah satu kaedah terbaik untuk mengurangkan penghijran generasi baharu Felda ke kawasan bandar disamping mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang seterusnya berupaya mengurangkan angka pengangguran dikalangan generasi baharu Felda.

Dalam usaha untuk terus memastikan generasi baharu Felda kekal di kawasan Felda masing-masing, pastinya pihak pengurusan Felda sudah memikirkan pelbagai kaedah dan cara untuk menambah baik kegiatan ekonomi di kesemua kawasan Felda di seluruh negara.

Selain daripada menyediakan peluang pekerjaan, mempelbagaikan kegiatan ekonomi, memperkasakan sektor hiliran dan serta menyediakan unit kediaman untuk generasi baharu Felda, penyelesaian AKTA GSA yang membabitkan faraid dan harta pusaka berkenaan pemilikan tanah peneroka perlu diperkemas dan dimuktamadkan sebaik-baiknya.

Jika berjaya direalisasikan, ia mampu meneruskan kelangsungan generasi seterusnya di Felda dalam usaha untuk mengekalkan keberadaan mereka di kawasan Felda masing-masing serta berupaya mengelakkan penghijrahan ke bandar.

Dengan pengurusan terkini yang memegang tampuk pentadbiran Felda berserta usaha-usaha yang telah menampakkan perubahan positif dalam memantapkan Felda dan menjayakan agenda pelan pemulihan Felda, perlu dikekalkan momentum sedemikian untuk terus memastikan Felda berjaya melakukan transformasi sepenuhnya.

Dengan sokongan kuat YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berserta Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Dato’ Seri Mustapa Mohammed, Pasukan Petugas Khas Felda yang diketuai oleh Tan Sri Wahid Omar, Dato’ Seri Idris Jusoh dan Ahli Lembaga Pengarah Felda berserta anggota pentadbiran dan kakitangan Felda di seluruh negara, insya-Allah Felda mampu berdaya saing dan bangkit kembali menjadi peneraju global dalam industri sawit seterusnya memastikan nasib peneroka serta generasi seterusnya terbela dan makmur akhirnya.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB DATUK AWANG HASHIM
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat
Ahli Parlimen Pendang – HARAKAHDAILY 7/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -