
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 1,989 kilogram minyak masak bersubsidi yang disyaki cuba diseludup ke negara jiran.
Minyak masak berkenaan dirampas dalam dua serbuan iaitu di Tumpat dan Rantau Panjang semalam. Operasi Bersepadu antara KPDNHEP Kelantan bersama Pasukan Gerakan Am Batalion 7 dilakukan pada jam 12.30 tengah hari dan 7 malam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri berkata, operasi pertama dilakukan hasil maklumat risikan.
Kata beliau, pihaknya mengesan pergerakan pemunggahan minyak masak paket satu kilogram bersubsidi di sebuah rumah di Kampung Bunohan, Tumpat.
Katanya, serbuan itu menemui minyak anggaran 29 kotak dengan kuantiti 493 kilogram.
“Pemilik rumah adalah seorang wanita berusia 30-an mengaku memiliki barang kawalan tanpa lesen yang sah.
“Serentak itu pasukan kita menahan wanita untuk membantu siasatan dan mengenal pasti punca bekalan diperolehi,” katanya pada satu kenyataan semalam.
Menurutnya juga modus operandi kegiatan itu dengan menjadikan rumah atau tempat simpanan sementara sebagai lokasi transit sebelum dibawa ke negara jiran.
Beliau menambah, operasi kedua pasukan mematahkan cubaan penyeludupan minyak masak sebanyak 88 kotak dengan anggaran kuantiti sebanyak 1,496 kilogram.
Menurutnya, pasukan berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Pajero yang dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandu bertindak memecut secara berbahaya serta melanggar beberapa lampu isyarat sebelum melarikan diri.
Katanya, lelaki itu bertindak melarikan diri ke dalam sawah berhampiran di Kampung Pohon Tanjung setelah kenderaan yang dibawa mengalami kerosakan akibat membawa lebih muatan.
“Nilai rampasan keseluruhan ialah RM9,972.50 manakala nilai bagi barang kawalan bersubsidi sebanyak RM4972.50 dan kenderaan RM5,000.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!