Kerajaan N9 perlu lebih proaktif tangani COVID-19

- Advertisement -

REMBAU: Kerajaan Negeri Sembilan perlu mengambil langkah segera dan drastik bagi mengatasi pertambahan kes positif COVID-19 setiap hari. 

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 3 Julai, negeri ini mencatatkan 699 kes baharu iaitu kedua tertinggi dalam negara.

- Advertisement -

Malah, angka tersebut berada pada tahap yang hampir sama setiap hari dan tidak berlaku penurunan dan pernah melepasi empat digit jumlah rakyat dijangkiti.

Justeru, adalah wajar Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Aminuddin Harun menyusun strategi berkesan sebelum ianya menjadi lebih teruk. 

Ketua Penerangan PAS Negeri Sembilan, Badzli Bakar menggesa kerajaan negeri lebih proaktif untuk menangani situasi ini, dengan mengambil cakna segala cadangan yang dikemukakan. 

“Kita perlu menjadikan negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Perak sebagai contoh kerana telah melangkah ke fasa seterusnya dalam program pemulihan.

“Tidak perlu untuk kita mengikut jejak langkah Selangor untuk menjadi juara dalam bab ini,” ujarnya yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional Negeri Sembilan. 

Katanya lagi, PAS Negeri Sembilan bersedia untuk bersama-sama dalam mengembleng tenaga bagi memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini. 

“Pelan Pemulihan yang dicadangkan oleh pihak PAS sendiri sebagai langkah bersama dalam menjayakannya dan bukan dilihat sebagai menyusun agenda mensabotaj serta menggagalkan apa yang sedang dijayakan oleh Kerajaan Pusat,” tegas Badzli lagi.

Beliau juga mengajak semua rakyat bangkit bersama membawa Negeri Sembilan ke fasa seterusnya iaitu kesejahteraan rakyat yang bebas dari COVID-19 dan akhirnya mampu menggerakkan ekonomi yang baik dan maju. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -