Isteri MP Marang santuni pemuda hadapi musibah

- Advertisement -

MARANG: Isteri Ahli Parlimen Marang, To’ Puan Seri Zainab Awang Ngah menziarahi dua orang pemuda yang menghadapi musibah di Kampung Surau Haji Daud.

Mohamad Akif Asyraf Mat Jusoh, 25, terlibat dengan kemalangan dengan lori sementara Fahmi Izuddin Ibrahim, 23, menghidap penyakit buah pinggang.

Akif menderita lumpuh di bahagian peha ke bawah sejak tiga tahun lepas dan terpaksa menggunakan kerusi roda bagi setiap aktiviti hariannya sekarang.

- Advertisement -

Dia tidak dapat melakukan kerja selepas kemalangan itu.

Anak muda ini kini dijaga oleh ibunya. Ayahnya pula sering mengalami sakit lutut kerana faktor usia.

Fahmi Izuddin pula sudah hampir empat bulan terlantar di atas katil kerana tidak dapat bergerak akibat serangan penyakitnya itu.

Menurut ibunya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kantin, Fahmi setiap hari perlu menjalani proses untuk mencuci buah pinggangnya di rumah.

Kesulitan berlaku kerana tiada tempat yang sesuai untuk mencuci buah pinggang. Proses tersebut terdedah kepada debu dan kotoran.

Dia dijaga sepenuhnya oleh ibu kerana ayahnya sudah lama meninggal dunia.

Namun disebabkan oleh keterbatasan kudrat, ibunya terpaksa berhenti kerja serta merta kerana tiada orang lain untuk menguruskannya.

Pejabat Pusat Khidmat Parlimen dengan sokongan moral To’ Puan Seri Zainab memberi sumbangan kepada kedua-dua anak muda itu.

Bantuan diberikan kepada Akif bagi memudahkannya menjalani kehidupan manakala bagi Fahmi, sebuah bilik kecil disiapkan supaya lebih selesa bagi menjalankan proses mencuci buah pinggang.

Petugas kebajikan Pusat Khidmat Parlimen Marang turut serta dalam program ziarah itu. – HARAKAHDAILY 13/7/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -