
KUALA LUMPUR: Kerajaan Arab Saudi telah menyenaraikan Sinovac sebagai vaksin yang diterima bagi memasuki negara itu.
“Alhamdulillah, Arab Saudi telah memasukkan Sinovac dalam senarai vaksin yang diterima bagi kemasukan ke sana,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Justeru, ujarnya perkara itu boleh disampaikan kepada ahli keluarga yang telah menerima vaksin Sinovac dan berniat untuk tunaikan haji dan umrah akan datang.
“Sama-sama kita doakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini, dipermudahkan Allah SWT.
“Tidak ada lagi kerisauan kepada ahli keluarga kita yang khuatir tidak dapat tunaikan haji dan umrah kerana diberi vaksin Sinovac,” ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebook beliau. malam tadi.
Beliau turut berkongsi pautan laman web Kementerian Kesihatan Arab Saudi berhubung perkara itu iaitu https://eservices.moh.gov.sa.
Dengan itu, Arab Saudi kini mengiktiraf enam vaksin Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Janssen, Sinopharm dan Sinovac.

Zulkifli menambah, fokus kita adalah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia dan JKJAV untuk memastikan lebih ramai mendaftar dan hadir untuk vaksinasi. – HARAKAHDAILY 13/7/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!