
ALOR SETAR: Sudah lumrah kehidupan apabila mendapat sedikit kekayaan akan dicemburui dan didengki orang, manakala musuh pula mahu melihat jatuh miskin untuk ditertawakan, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.
“Saya memanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T yang telah membuka luas pintu rezeki rakyat Kedah, rakyat Malaysia khususnya di atas kehadiran begitu banyak pelabur masuk dalam keadaan kita menghadapi pandemik COVID-19 yang menyerang dunia pada waktu ini.
“Tapi pelabur yakin kepada Malaysia untuk datang, saya ucap terima kasih Kerajaan Persekutuan yang telah mencadangkan Kulim Hi Tech Park di Kulim sebagai destinasi untuk mereka mendirikan kilang. Di sanalah akan terbina industri yang besar ini dan peluang pekerjaan untuk anak-anak kita insya-Allah,” ujar beliau.
Maklum beliau, Kedah menerima 14 industri yang telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi suku pertama 2021 dengan terbesar adalah Risen Solar Technology Sdn Bhd dari China.
Menurutnya, syarikat ini membawa pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah diluluskan sebanyak RM42.23 bilion dalam bidang modul solar dan sel solar di mana kilang pengeluaran Risen Solar sedang dibangunkan di KHTP.
“Ada orang kata kita cakap saja. Kita jemput dia orang datang ke Kulim Hi-Tech untuk melihat sendiri kerancakan pembangunan kilang Risen Solar dari China ini,” ujarnya memberitahu ia diluluskan oleh MIDA pada Januari 2021.
Katanya, kemasukan pelaburan sektor pembuatan ini sekali gus menghadirkan peluang pekerjaan di mana pada fasa pertama ini akan mewujudkan 3,496 peluang pekerjaan 3,496 sebelum bertambah lagi pada fasa 2 dan fasa 3.
Kedah juga beritahunya, menerima pelaburan langsung domestik (DDI) dari Plasticycle Industri Sdn Bhd di Kulim sebanyak RM6.93 juta dan Kiyamas Chemical Sdn Bhd di Sungai Petani dalam bidang bahan kimia melabur RM20.1 juta.
Juga katanya, SP Mega Minerals Sdn Bhd berjumlah RM29.3 juta di Padang Meha melibatkan produk logam asas dan CSH Green Resources Sdn Bhd melabur RM9 juta di Lunas mengeluarkan produk bahan kimia.
Sementara RM3.1 juta dibawa Bumimaju Industries Sdn Bhd yang juga memproses bahan kimia ke Kulim di mana semua ini adalah pelaburan baharu yang menjadikan jumlahnya RM42.3 bilion.
Sanusi memberitahu, untuk pelaburan pembesaran dan tambahan juga diluluskan oleh MIDA pada Januari hingga Mac 2021 terdapat lapan dengan jumlah RM87.67 juta. – HARAKAHDAILY 25/6/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!