
TANAH MERAH: Rakyat di negara ini melalui fasa yang sangat getir sekarang berikutan wabak Covid-19 masih lagi menular.
Timbalan Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdul Fattah Mahmood berkata, Kelantan juga mencatat kes harian yang begitu tinggi.
“Virus baharu yang dikenali varian Afrika begitu menggerunkan dan perlu dijaga sebaik mungkin supaya kita tidak terjebak.
“Saya juga tidak membenarkan dua anak pulang untuk berhari raya bersama keluarga kerana bimbang penularan wabak.
“Gesaan itu dibuat dengan mengambil kira pandangan Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada penghulu di kediamannya hari ini.
Oleh itu beliau berharap anak-anak Kelantan di perantauan kekal menyambut Aidilfitri di tempat bekerja.
Beliau turut mencadangkan anak Kelantan di perantauan supaya memanfaatkan media sosial untuk berhubung dengan ibu bapa dan keluarga di kampung.
Menurutnya kita boleh manfaatkan Zoom, Google Meet, video call, group WhatsApp keluarga dan sebagainya sebagai cara untuk melepas rindu.
“Biarlah kita bersedih sekarang daripada kita bersedih selepas itu, kalau tidak terjebak dengan jangkitan alhamdulillah, tapi bagaimana sekiranya tanpa sedar kita salah seorang daripada mereka.
“Covid-19 tidak memilih mangsa. Jadi wajar dalam keadaan sekarang anak-anak perantau tidak pulang seperti diarahkan kerajaan,” katanya.
Beliau yang juga Adun Bukit Panau berharap umat Islam hendaklah memanfaatkan hari-hari akhir Ramadan berdoa supaya Covid-19 diputus rantaiannya.
Pada majlis itu ahli Parlimen Tanah Merah Dato’ Seri Ikmal Hisham Abd Aziz turut menyampaikan sumbangan kepada penghulu. Sumbangan berkenaan disampaikan pegawainya Azmi Nordin. – HARAKAHDAILY 10/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!