
INDERA MAHKOTA: Pembinaan jalan pintas (bypass) Kuantan-Gebeng dari dua lorong kepada satu lorong di hadapan Balai Polis Gebeng telah menyebabkan kesesakan teruk terutama pada waktu puncak.
Dianggarkan sehingga 80,000 pekerja di sekitar Kawasan Perindustrian Gebeng terpaksa menghadapi keadaan sedemikian lebih-lebih lagi ketika waktu pagi di mana para pekerja datang ke premis kerja mereka.
ADUN Beserah, Andansura Rabu yang turun ke lokasi melihat sendiri keadaan tersebut mendapati antara penyebab kesesakan juga apabila pengguna jalan raya dari arah Kuantan terpaksa membuat pusingan-U sangat jauh.
Jelas beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang, mereka terpaksa menuju hingga ke persimpangan Sungai Ular untuk ke tempat kerja bagi membuat pusingan-U tersebut dengan jarak keseluruhan 10 kilometer.
“Keadaan menjadi sesak yang teruk di sepanjang hari dan ianya juga telah berlarutan sepanjang masa begitu lama. Untuk mengatasi masalah ini, kita mencadangkan agar dibuka satu laluan untuk pusingan U.
“(Iaitu) di persimpangan antara projek baru East Coast Economy Region (ECER) dari Gebeng ke Institut Latihan Perindustrian (ILP). Persimpangan tersebut telah siap, boleh digunakan, tetapi belum dibuka kepada pengguna jalan raya,” ujarnya
Beliau telah meninjau lokasi berkenaan bersama Pengurus Besar ECER, Dato’ Mohd Mazlan Sharudin dan mencadangkan supaya dibuka persilangan tersebut bagi mengatasi masalah yang membelenggu pengguna itu.
Menurut Mohd Mazlan, persimpangan tersebut ketika ini belum dibuka kepada umum oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana belum dibuat penyerahan rasmi kepada pihak ECER untuk dipertanggungjawabkan.
Walau bagaimanapun, beliau memahami masalah yang diutarakan dan bersedia untuk berhubung dengan pihak JKR bagi mempertimbangkan cadangan penyelesaian tersebut dengan seberapa segera.
“Kita mengharapkan agar tindakan segera dapat dilakukan untuk membuka laluan ini dan akan memberikan kelegaan banyak kepada pengguna-pengguna di Gebeng,” ujar Andansura lagi.
Dalam pada itu, beliau juga mengharapkan agar kerja-kerja menarik taraf jalan daripada satu lorong dapat ditambah kepada dua lorong di kawasan Gebeng ke Simpang Sungai Ular dengan penyelesaian segera.
“Kita telah dimaklumkan bahawa bajet dan tender juga telah keluar cuma sekarang ini sedang tunggu proses komersial, proses teknikal dan dijangka tahun hadapan akan bermula.
“Sekiranya projek ini bermula, sudah pasti kesesakan akan bertambah teruk dan kita harapkan agar ianya dapat diselesaikan dengan segera,” kata Andansura lagi. HARAKAHDAILY 15/4/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!