
KUALA KRAI: Penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Kelantan kini berdepan kesukaran untuk datang ke bandar Kuala Krai ekoran paras air semakin cetek.
Lebih 1,000 penduduk yang tinggal di sembilan kampung di hulu bandar Kuala Krai terjejas kerana bot penambang sukar bergerak sekarang.
Antara kampung terlibat termasuk Kampung Mambong, Kampung Sungai Rimau, Kampung Johol, Kampung Pasir Linggi, Kampung Batuan dan Kampung Bahagia.
Adun Guchil Hilmi Abdullah berkata, penduduk yang tinggal di kampung terbabit menggunakan bot sebagai pengangkutan utama mereka setiap hari.
Bagaimanapun, katanya Sungai Kelantan sekarang mengalami penurunan mendadak sehingga 50 peratus menyebabkan pasir dan batu-batan mulai timbul dalam sungai.
Katanya, situasi itu dijangka berterusan sehingga hujung bulan ini sekiranya tidak ada hujan di kawasan hulu.
“Penduduk berharap sebuah jambatan baharu yang sudah diluluskan kerajaan dibina segera tahun ini di Kampung Pasir Kelang untuk mengatasi masalah tersebut.
“Jambatan itu saya difahamkan dalam proses tender. Saya sebagai wakil rakyat di sini berharap pembinaan kemudahan tersebut dapat disegerakan,” katanya di sini.
Kata beliau dengan ada jambatan terbabit sekali gus dapat menyelesaikan masalah pengangkutan untuk penduduk keluar ke bandar Kuala Krai atau tempat-tempat lain ketika musim banjir dan kemarau.
Menurutnya juga penduduk di kampung terbabit sekarang terpaksa menggunakan jalan ladang yang tidak berturap sejauh hampir 40 kilometer untuk keluar ke bandar Tanah Merah.
“Laluan itu melalui Peralla dan Gual Ipoh sebelum sampai ke bandar Tanah Merah yang mengambil masa lebih lama berbanding laluan sungai untuk ke bandar Kuala Krai,” ujarnya.
Sementara itu seorang pemandu bot penumpang Mohd Nasir Mohd Daud berkata, keadaan sungai yang cetek menyebabkan lima daripada 10 pengusaha bot terpaksa memperlahankan operasinya buat sementara waktu.
Katanya langkah itu dibuat kerana bimbang keadaan sungai yang semakin cetek menyukarkan pergerakan bot. – HARAKAHDAILY 11/3/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!