Apa Kelantan sumbang di bawah PAS begitu lama?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dalam suasana isu rasuah masih bergema dalam kalangan masyarakat hari ini, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melontarkan pertanyaan ‘apa Kelantan sumbang di bawah PAS begitu lama?’.

Menerusi laman sosial Facebooknya pada Sabtu lepas, sebagai jawaban, beliau menyatakan bahawa 30 tahun politik PAS Kelantan tanpa rasuah.

“Ertinya, wang kerajaan sampai kepada rakyat sepenuhnya tanpa bocor di perjalanan oleh tangan-tangan politik yang jahat,” jelas beliau.

Menurutnya, jika rekod Kelantan itu ditukar menjadi rekod Malaysia, bayangkan bagaimana indahnya nama Malaysia di mata dunia.

- Advertisement -

Ironi, kata beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, mereka terus bersemburan air liur berkata, Kelantan gagal.

“Sedangkan modal utama politik mereka sejak 30 tahun ialah tolak rasuah, tolak kaki rasuah,” ujarnya lagi.

Di dalam posting selepas itu, beliau menulis berkaitan dengki dan dendam dengan memetik kata-kata Al Imam Ibnu Rajab.

Al Imam Ibnu Rajab berkata, “di antara dosa yang menghalang daripada mendapat keampunan Allah adalah al syahna’. Ia bermaksud sifat dengki seorang muslim terhadap saudaranya kerana kebencian terhadapnya disebabkan dorongan nafsu buruknya. Perbuatan dosa itu akan menghalangnya daripada mendapat keampunan Allah pada kebanyakan masa dan saat khas pengampunan dan rahmat daripada-Nya”.

Berhubung perkara itu, Nik Abduh menjelaskan dengki dan benci adalah sifat yang amat buruk dalam diri yang menghapuskan segala kebaikan.

Katanya, kebencian menghalang tuah terbesar dalam diri setiap muslim iaitu memperolehi rahmat dan keampunan Allah.

Tambahnya, dosa-dosa yang kekal tanpa pengampunan akan menjadi sebab kepada hati yang keras yang sukar menerima cahaya iman dan kebenaran.

Beliau berkata, akhlak yang terpuji adalah jaminan rahmat Allah yang berterusan kepada pemiliknya.

“Sentiasa mengintai saat dan masa di mana Allah menawarkan keampunan dan rahmat kepada hamba-Nya yang bertaqwa,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 9/2/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -