
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2021 Terengganu untuk tabung perumahan rakyat.
Menteri Besarnya, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi menjamin kesejahteraan rakyat khususnya golongan B40, kerajaan negeri mengambil langkah mewujudkan Tabung Pinjaman Perumahan Rakyat Negeri Terengganu.
“Tabung ini bertujuan untuk membantu rakyat membina rumah atas tanah sendiri.
“Bagi menjayakan tabung pinjaman ini dan merealisasikan manifesto kerajaan negeri, sejumlah RM50 juta diperuntukkan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pembentangan Belanjawan 2021 Terengganu, sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-14, di Wisma Darul Iman, semalam.
Selain itu, katanya kerajaan negeri melalui kerjasama dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) juga memperuntukkan sebanyak RM25.5 juta bagi menyediakan lebih banyak Rumah Darul Iman (RAHMAN) untuk golongan B40.
Menurut Dato Seri Dr Samsuri, terdapat dua projek baharu RAHMAN iaitu Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing II, Marang dan RPMM Bukit Tumbuh, Kuala Terengganu.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM16 juta untuk melaksanakan Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) di seluruh DUN bagi membaik pulih rumah yang rosak. – HARAKAHDAILY 24/11/2020
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!