
BACHOK: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Princess Of Naradhiwas University (PNU) Thailand menjalinkan kerjasama dalam bidang pendidikan.
Kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) secara maya bagi kerjasama akademik biarpun ketika pandemik Covid-19.
Majlis menandatangani MoA bagi pihak UMK disempurnakan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Ts. Dr. Noor Azizi Ismail di Bilik Seminar 2, Bangunan Canselori, UMK Bachok, Tangok, semalam.
Manakala PNU diwakili Presidennya, Prof. Madya Dr. Rossukon Sangmanee menandatangani MoA berkenaan di universiti terbabit. Majlis itu disiarkan secara sidang maya.
MoA itu turut disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Rafi Yaacob dan Timbalan Presiden PNU, Penolong Profesor Dr. Supath Srisawas.
Hadir sama, Dekan Pusat Pengajian Siswazah, Prof. Dr. Razli Che Razak dan Pengarah Pusat Antarabangsa UMK, Prof. Madya Dr. Ng Siew Foen.
Menurut Dr Noor Azizi, kerjasama antara UMK dan PNU sebagai contoh terbaik bagi mempamerkan kerjasama strategik antara Malaysia dan Thailand sejak berabad lamanya.
Katanya PNU memilih UMK untuk membolehkan pelajarnya melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa.
“UMK menerusi Pusat Pengajian Siswazah (PPS) menerima tujuh permohonan dari staf akademik PNU untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD.
“Pihak UMK berharap kerjasama strategik antara UMK dan PNU menjadi pemangkin kepada UMK untuk menerima lebih ramai lagi pelajar antarabangsa khususnya dari Thailand,” katanya.
Dr Mohd Rafi pula berkata, UMK menerima kemasukan tujuh pelajar antarabangsa dari PNU untuk melanjutkan pengajian PhD di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (6 pelajar) serta Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (1) untuk kemasukan sesi 2020/2021.
“Sehingga kini UMK memiliki pelajar antarabangsa dari 17 negara iaitu dari China, Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Maldives, Senegal, Ghana, Nigeria, Bangladesh, Ethiopia, Somalia dan banyak lagi.
“Kami berharap kerjasama antara UMK dan PNU menjadi satu keutamaan kepada kami untuk mencapai sasaran dengan mempunyai lebih ramai pelajar antarabangsa pada masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2020
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!