|
Salmah Mat Hussin & Mohd Nor Yahya
|
|
PASIR PUTEH, 25 Nov: Kawasan perkelahan yang begitu indah di Pantai Bisikan Bayu bakal tinggal nama sekiranya tiada usaha dilakukan bagi mengawal hakisan ombak semakin serius sekarang, sedangkan kawasan itu merupakan lokasi pelancongan utama di Kelantan.
Sehubungan itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap Jabatan Pengairan dan Saliran membuat kajian segera bagi menyelamatkan pusat pelancongan terbabit.
“Hakisan yang berlaku hampir satu kilometer jika dibiarkan tanpa tindakan sewajarnya mungkin pada tahun akan datang ia akan semakin menghampiri jalan raya dan menjejaskan keindahannya,” katanya selepas melawat pantai tersebut hari ini.
Turut hadir Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim, Adun Gaal, Dr .Nik Mazian Nik Mohamed, Adun Selising Drs Saiful Baharin Mohamed, Pengarah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu Kemasin Semerak, Shamsuddin Mat Saat.
Katanya, keadaan banjir sudah bertambah baik dan ramai mangsa telah pulang ke rumah masing.masing, namun di Pasir Puteh ia terganggu sedikit disebabkan kerosakan dua pintu utama empangan Kemasin Semerak.
“Saya amat bersyukur kerana negara kita tidaklah seteruk negara-negara lain yang jika dilanda banjir. Alhamdulillah negara kita dan Kelantan khususnya sentiasa dilindungi-Nya,” ujar beliau.
Menurutnya juga kerajaan Kelantan turut bimbang terhadap kejadian banjir yang mudah berlaku di Rantau Panjang akibat limpahan air di Sungai Golok.
"Saya telah bincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz yang mengunjungi Kelantan baru-baru ini supaya disegerakan projek pembinaan benteng di sepanjang sungai tersebut," ujarnya.
Menteri Besar juga berharap rakyat Kelantan sentiasa berwaspada dalam menghadapi musim banjir dan mengawasi anak-anak serta berpindah segera jika diarahkan pihak berkuasa.
“Saya juga berharap rakyat Kelantan tidak menjadikan banjir sebagai pesta kerana ia terdedah kepada kehilangan nyawa,” katanya.
Pada lawatan tersebut Tuan Guru Nik Abdul Aziz menziarahi 10 keluarga di Kampung Tok Sudin yang berpindah ke pusat pemindahan Banjir di Sekolah Menengah Kamil.
Rombongan Menteri Besar juga meninjau sebuah jambatan runtuh di Kampung Banir Belikong di Selising akibat arus deras. Jambatan itu menghubungkan Kampung Banir dengan Kampung Sungai Gali.
Adun Selising berkata, pihaknya berharap jambatan baru dibina segera kerana ia menjadi laluan utama penduduk ke Pekan Selising. Jambatan yang runtuh dibina lima tahun lalu.
Semalam Menteri Besar melawat mangsa-mangsa banjir di Rantau Panjang dan Kuala Krai yang turut ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias.
|