Hiburan tak patuh syariah, mewirakan watak bodoh memualkan

Dr Riduan Mohamed Nor
- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

RAMADAN
semakin berlari menggapai kita yang masih termanggu dan culas memohon keampunan. Kematian dan berita teman-teman yang menderita kesakitan semakin banyak bergentayangan di medsos. Allah membuka ruang seluas mungkin untuk mengampunkan kita, para pendosa yang tak sedar dek untung. Rejab dan Syaaban dengan masa yang sangat berharga, dihabiskan dengan menonton siaran televisi dan menggodek telefon pintar. Media sosial meriah di musim pandemik, umpat keji bergentayangan dan kita terus terlalai walau jasad terpasung di dalam rumah.

Seminggu dua ini dengan pelbagai isu yang melibatkan dunia hiburan dan anak seni, pelbagai reaksi termasuk respons para menteri, ilmuan Islam, seniman bahkan sang jahil tukil turut mengulas pelbagai isu. Lihat sahaja isu soft porn yang mula cuba diselit dalam drama-drama sampah Melayu. Sebelum ini isu “elgibiti” dalam drama dan filem Melayu walaupun puas dibaham oleh pengkritik dan ilmuan. Datang pula klip video mandi bagai yang memualkan oleh selebriti produk. Dunia tipu-tipu semakin parah, jika ditegur oleh para ulama maka berbondong-bondong peminat dan netizen yang akan membela artis, selebriti ini. Personal sin is not a criminal kata sang pembela, memang tenat dunia ini.

- Advertisement -

Berhibur tanpa batasan akan menjadikan kita hilang nikmat beribadah. Apatah lagi hiburan yang tidak patuh syariah dan tidak disiram ketaatan kepada Allah. Hiburan bersalut dosa menjadikan hati kita hitam, menjadi sulit untuk melakukan kebajikan bahkan tangan dan mulut senang untuk mengeji dan menista.

Lebih malang juga kali ini, kita menghina orang miskin dan yang memerlukan bantuan. Kita menjadi sangat rapuh dalam menimbang baik dan buruk, bahkan menjadi kurang manusiawi. Berakar daripada kerancuan berfikir dalam beragama maka tak sedikit umat Islam menjadi liberal dan menjunjung nilai pragmatisme. Penggalang pemikiran pragmatis tidak akan meletakkan acuan dosa dan pahala dalam tindakan mereka, pertimbangan moral dan akhlak tiada dalam neraca pemikiran.

Seni dan hiburan diakui keabsahannya mendidik manusia, bahkan merupakan salah satu daripada metode dakwah yang digunakan oleh para ulama dalam mengembangkan dakwah Islam. Di Nusantara, ketika Islam mulai berkembang terutama sejak abad ke-13 Masehi, para ulama telah menggunakan pelbagai pendekatan seperti perkahwinan, penubuhan kerajaan Islam, pedagangan dan sebagainya sebagai metode dakwah. Untuk melengkapkan lagi gerakan dakwah, sebahagian ulama di Nusantara menjadikan seni dan hiburan ini sebagai metode dakwah mereka. Antaranya seperti dakwah wali Songo dalam masyarakat Jawa, merubah medium seni sebagai wahana dakwah yang interaktif.

Sepanjang sejarah perkembangan dakwah, para ulama telah menggunakan seni suara (muzik), wayang kulit, seni ukir, seni bina, penulisan sastera, seni mempertahankan diri dan beberapa kesenian yang lain sebagai sebahagian daripada pendekatan. Salah satu faktor kepentingan dakwah melalui seni juga berjaya merengkuh perhatian manusia dengan seni yang berkiblat. Kita semua sewajarnya membuat penelitian terhadap hiburan yang tidak menjuruskan anak muda kepada sensate culture, budaya hiburan kosong yang melalaikan dan merencatkan intelektual.

Masyarakat Muslim perlukan vitamin intelektual dan hiburan patuh syariah yang membina peradaban. Entahlah, mungkin rasa bosan terkurung menjadikan kita kecanduan berhibur atau kita menyalahi catatan taqdir. Kita semua, peserta-peserta universiti tarbiah Ramadan sepatutnya insaf dengan membuncahnya aktiviti penagihan najis dadah dalam kalangan anak muda, gejala buta agama, kecanduan melampau pada hiburan serta ghazwatul fikri yang dilancarkan oleh musuh Islam untuk merosakkan belia dan anak muda. Moga Ramadan musim pandemik yang bakal menjelang ini merubah cara kita melihat sarwajagat, jadilah insan peduli ummah, ringan membantu orang lain, menyintai petunjuk rabbani, berteleku memohon keampunan Tuhan dan bercermin diri. Moga sempat kita menghirup udara segar Ramadan, bulan pengampunan, bulan al Quran, bulan jihad yang menggelegak dengan semangat perjuangan! – HARAKAHDAILY 22/3/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -