Malaysia aman, mengapa Jelajah Oren diserang

Harakahdaily | .

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam pihak yang menghalang konvoi Jelajah Oren ‘Selamatkan Felda’ sehingga mencederakan dua peserta konvoi tersebut serta memecahkan cermin kereta sebuah pacuan empat roda.

 

“DPPM menganggap tindakan seperti ini adalah suatu tindakan tidak bertamadun oleh golongan yang tidak mahu menerima kebenaran serta menghargai ruang demokrasi yang ada dalam negara ini,” kata Ketua Penerangannya, Riduan Mohd Nor.

 

Katanya, DPPM percaya tindakan provokasi tersebut telah terlebih dahulu dirancang bagi mewujudkan insiden keganasan yang tjuannya adalah untuk mengugut rakyat agar tidak berani bangkit menyatakan kebenaran.

 

Beliau berkata, ia mungkin juga bagi menutup segala kepincangan yang berlaku supaya rakyat tidak tahu isu sebenar yang berlaku di dalam Felda.

 

Soalnya, kata beliau mengapa mesti tindakan ala samseng seperti ini berlaku dalam negara aman seperti Malaysia.

 

“Jika sekalipun rombongan Jelajah Oren tidak dibenarkan masuk ke Felda Bukit Rokan Utara oleh penduduk kampung, tidak bolehkah rombongan tersebut hanya dihalang masuk tanpa apa-apa insiden ganas?” katanya dalam satu kenyataan.

 

Soalnya lagi, apakah hak mereka untuk menghalang rombongan tersebut melalui jalan utama di kawasan tersebut.

 

Tambahnya, aksi penduduk yang bertindak ganas terhadap peserta Jelajah Oren dengan membawa bendera BN dengan sendirinya telah menjatuhkan imej BN di mata rakyat.

 

Menurutnya, mereka yang membawa bendera BN dalam insiden tersebut sebenarnya lupa bahawa mereka telah mempromosikan BN sebagai parti bermasalah, ganas, samseng dan hilang akal.

 

“Realitinya, insiden ini telah menambah kebencian rakyat terhadap BN. Ternyata BN gagal memimpin negara sebagai sebuah negara demokrasi yang adil, bersih dan tulen apabila enggan menghormati hak rakyat,” ujarnya.

 

Akhirnya, ujar beliau DPPM mendesak pihak keselamatan khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak tegas menangkap individu atau kumpulan yang bertanggungjawab mencederakan dan merosakkan kenderaan Jelajah Oren itu.

 

DPPM juga, tegasnya mendesak supaya pihak PDRM meningkatkan kawalan keselamatan terutama menjelang Pilihan raya Umum ke-13 daripada sebarang insiden keganasan yang tidak diingini.

 

“DPPM tidak mahu insiden yang sama berulang terhadap rakyat sama seperti yang dialami oleh peserta rombongan Jelajah Oren ini atau dalam ceramah umum di Gombak beberapa minggu yang lalu,” ujarnya lagi.

Share on Myspace