Selepas Selangor, sampai giliran kerajaan BN Pusat pula

| .

KUALA LUMPUR: PAS meminta semua rakyat menghukum kerajaan Barisan Nasional (BN) Pusat pula dalam pilihan raya umum akan datang setelah menghukum kerajaan BN Selangor dalam pilihan raya umum lalu.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, langkah ini perlu untuk membolehkan rakyat negara ini turut menikmati apa yang telah dinikmati oleh rakyat Selangor sekarang selepas mereka menghukum kerajaan BN Selangor dalam pilihan raya lalu.

Umno Selangor baru-baru ini mengakui kesilapan lampau mereka yang lalu dan menegaskan bahawa rakyat Selangor telahpun menghukum mereka, oleh itu tidak perlu untuk dibangkitkan isu-isu lama.

Mengulas kenyataan yang dibuat oleh Penyelaras BN Selangor Mohamad Zain Mohamad, Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata hukuman rakyat kepada Umno-BN di Selangor adalah satu tindakan yang tepat.

Ini kerana, hasil tindakan ini telah membebaskan mereka untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik, kebajikan rakyat dan peningkatan sumber hasil negeri hasil daripada pemerintahan Pakatan Rakyat.

“Oleh itu, kini sampai pula giliran rakyat menghukum kerajaan Pusat yang juga diterajui oleh kerajaan Umno-BN.

"Untuk menikmati ‘pembebasan’ dan kenikmatan manis yang dirasai rakyat yang berada di negeri Pakatan Rakyat, rakyat perlu bangkit menghukum kerajaan pusat pula,” kata beliau kepada Harakahdaily.

Tuan Ibrahim berkata permohonan maaf Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak cukup untuk rakyat mengembalikan sistem negara yang telah parah ini.

Umno-BN, katanya, akan mengulangi kesilapan yang sama kerana dasar dan kepimpinan mereka tetap kekal di takuk lama menyebabkan permohonan maaf Najib tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah.

“Walaupun menerima kemaafan sikap terpuji, bukanlah bermakna kita perlu serahkan negara kepada Umno-BN. Berapa ramai orang memohon maaf, tetapi mengulangi semula kesilapan lampau?” tegas Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

“Apa lagi kerajaan yang korup, salah guna kuasa, menzalimi rakyat dengan pelbagai sistem yang menekan rakyat sendiri, merompak wang royalti negeri Kelantan dan pelbagai kesalahan lagi. Kini sampailah giliran rakyat menghukum kerajaan Pusat  di atas kesalahannya,” tegas Tuan Ibrahim.

Setelah ditekan dengan isu-isu membolot tanah dengan harga murah, Mohamad Zain telah meminta supaya DAP tidak mengungkit isu-isu lama terhadap BN Selangor kerana BN telah pun di hukum oleh rakyat Selangor pada pilihanraya 2008 yang lalu.

Zain berkata “rakyat telah pun menghukum kami dan tidak usahlah mengungkit-ngungkit perkara lama.”

Share on Myspace