Apabila umat Islam ketandusan strategi

- Advertisement -

KEBENARAN yang tidak tersusun

(1)     Umat Islam selalu ‘bising’ tentang perancangan musuh itu perancangan musuh ini, akan tetapi berapa ramai yang bertindak merancang untuk berhadapan dengan perancangan musuh itu?

Adakah hanya memadai dengan sekadar tahu dan sedar tentang perancangan musuh tetapi tidak bertindak merancang untuk memintasnya?

(2)     Antara kata-kata hikmah yang perlu diperhatikan;

- Advertisement -



الحق بلا نظام يغلبه الباطل بنظام

“Kebenaran yang tidak tersusun boleh dikalahkan oleh batil yang tersusun.”



(3)     Sekiranya kita meneliti Sirah Nabi Muhammad S.A.W, kita akan dapati bahawa Nabi S.A.W adalah seorang perancang dan seorang strategis.

a-     Antaranya di dalam kisah peristiwa hijrah ke Madinah. Menyaksikan bagaimana Baginda S.A.W mengatur perjalanan dan melantik ejen-ejen untuk menjadi ‘pelindung’ dalam perjalanannya.

b-     Bahkan di dalam peristiwa yang lain Nabi S.A.W berbincang dengan para Sahabat tentang strategi untuk perang. Bukanlah menyerang secara ‘cerodong’.

Dalam pada itu juga Baginda S.A.W mewujudkan intelligent-intelligent di dalam menyiasat meneliti dan mengkaji perancangan musuh. Hal ini telah saya ulas sebelum ini.

Pertembungan strategi

(1)     Apabila kita saksikan peristiwa perang Uhud contohnya, kita dapat saksikan bagaimana strategi Nabi Muhammad S.A.W bertembung dengan strategi Khalid al-walid.

Khalid al-Walid adalah seorang strategis yang hebat ketika itu dan masih lagi belum memeluk agama Islam. Ya, untuk berhadapan dengan strategi musuh, Umat Islam sendiri perlu berstrategi.

(2)     Hasil daripada pertembungan strategi itu menyaksikan bagaimana umat Islam terkandas. Bukanlah disebabkan kelemahan strategi Baginda S.A.W.

Akan tetapi disebabkan oleh kegelojohan kumpulan pemanah yang ditempatkan di atas bukit, untuk mengutip harta rampasan perang. Melanggar arahan Baginda S.A.W.

(3)     Berdasarkan sirah Baginda S.A.W, dapat kita simpulkan bahawa betapa umat Islam perlu menjadi seorang perancang. Iaitu merancang untuk berhadapan dengan kelicikan strategi musuh.

Strategi untuk berhadapan dengan kelicikan musuh mestilah bermula dengan mengkaji secara terperinci tentang perancangan musuh.

(4)     Di dalam Kitab al-Munqiz Minad Dholal (المنقذ من الضلال), Imam Ghazali R.A mengkritik para Ulamak Mutakallimin yang cuba menyanggah Ahli Falsafah dengan sanggahan yang tidak jelas

Mereka hanya sekadar menyanggah dengan istilah yang tidak difahami oleh masyarakat awam. Apatah lagi mereka yang baru nak merangkak untuk memahami falsafah, lebih sukar untuk memahami sanggahannya.

Justeru, beliau menyatakan bahawa;



فعلمت أن رد المذهب قبل فهمه والإطلاع على كنهه رمى في عماية

“Lalu aku sedar bahawa menyanggah sesuatu aliran itu sebelum memahaminya  dan meneliti intipatinya terlebih dahulu, seperti memanah dalam keadaan mata tertutup”.



Hanya tahu meng‘copy’

(1)     Sebagai contoh hari ini kita dapat lihat bagaimana serangan dalam berbentuk idealogi sedang menyerang umat Islam. Umat Islam seakan-akan tidak bersedia untuk berhadapan dengan perang ini.

Apatah lagi tidak ramai dari kalangan umat Islam yang cenderung untuk mengkaji dan mendalami tentang serangan idealogi sekalipun telah dikarang dalam ribuan kitab para ulamak.

(2)     Apabila kita meneliti sejarah pertempuran umat Islam dengan Tentera Salib dalam beberapa siri, kita akan dapat lihat bagaimana umat Islam mampu untuk berhadapan dengan siri perang fizikal.

(3)     Akan tetapi realiti pada hari ini kita lihat umat Islam belum ada daya dan upaya untuk bersaing dalam perang idea (ideology war). Kelemahan ini boleh dikatakan sejak era 18-an lagi.

Iaitu apabila Umat Islam khususnya di Turki Uthmaniah yang kagum dengan kemodenan Barat. Lantas mereka tidak mengambil sikap untuk bersaing, tetapi meniru dan meng‘copy’.

Akhirnya kesesatan Barat turut ditiru dan dibawa masuk ke dalam Turki. Menyebabkan lahirnya golongan yang terkesan dengan idealogi Barat atas alasan kemodenan.

(4)     Dari saat itulah Umat Islam semakin sukar untuk timbul di persada persaingan idealogi, menyebabkan mereka ketinggalan. Namun, kesedaran ini wujud di awal kejatuhan Uthmaniah pada 1924.

Golongan ini muncul dalam bentuk gerakan Islam. Namun, disebabkan liciknya perancangan musuh, gerakan-gerakan Islam ini berjaya dilaga-lagakan dengan Umat Islam.

RAND Corporation

(1)     Hari ini kita dapat saksikan bagaimana mereka menyusun untuk ‘mengcreate’ agamawan yang mengikut acuan Amerika. Hal ini diingatkan dalam banyak penulisan Syed Qutb.

Penulisannya yang tajam ini menyebabkan Barat tergugat. Sehinggakan mereka terpaksa menyerang habis-habisan peribadi Syed Qutb dan penulisannya hingga ke hari ini.

(2)     Para agawaman yang sudah terikut dengan acuan Amerika digunakan untuk menyerang Syed Qutb atas alasan keganasan dan pengkafiran sedangkan tidak pernah ditemui mana-mana individu yang dikafirkan oleh beliau.

Isi-isi penulisannya dilaga-lagakan dengan begitu seni sekali sehingga dialasankan sebagai kritikan ilmiah. Serangan terhadap penulisan beliau ini jelas selari dengan RAND Corporation.

(3)     RAND Corporation adalah sebuah badan yang dibayar oleh Amerika untuk menjadi sebuah pasukan penyelidik dan perancang. Penulisan Imam Hassan al Banna dan Syed Qutb antara yang dijadikan sasaran oleh mereka.

Antaranya di dalam kajian RAND Corporation yang bertajuk Unfolding the Future of the Long War yang disediakan oleh 5 orang panel setebal 230 halaman pada 2008.

(4)     Nama kedua-dua tokoh ini dijadikan ‘bahan’ untuk mewujudkan agenda ‘Long War’ bagi melaga lagakan Umat Islam atas nama Salafi-Jihadis dan sebagainya

Alasan-alasan ini ditimbulkan tidak lain dan tidak bukan, adalah untuk menjauhkan Umat Islam daripada hidup dalam berjamaah, dan menjauhkan Umat Islam daripada bersatu menentang perancangan Barat.

Tradisionalis yang diperalat

(1)     Selain daripada itu, Umat Islam juga ada yang terpesona dengan agenda memperkasakan Tradisionalis sepertimana yang telah dinyatakan dalam RAND Corporation.

Mengikut kajian Cheryl Bernard salah seorang panel RAND Corporation, Tradisionalis adalah vaksin yang paling sesuai untuk berhadapan dengan Fundamentalis.

(2)     Laporan RAND Corporation bertajuk Building Moderate Muslim Networks melihat potensi ini kerana Tradisionalis dan Sufis boleh dikatakan part yang paling besar dalam umat Islam.

Justeru, mereka perlu mempergunakan part paling besar ini, untuk menghalang kebangkitan golongan Fundamentalis yang bersifat ‘haraki’.

(3)     Rancangan untuk menyekat Fundamentalis dengan menggunakan ‘pegangan dan ketaksuban’ Tradisionalis seolah-olah tidak pernah dihidu oleh Umat Islam, apatah lagi untuk merancang.

(4)     Realiti mudah untuk kita katakan ialah, kalau dahulu PAS di Malaysia dikuatkan oleh geng Pondok. Tetapi lama-kelamaan Umat Islam terikut dengan istilah ‘Wahhabi’ menyebabkan geng Pondok semakin dingin dengan PAS.

Sasaran mereka ialah, memastikan geng Pondok pada masa depan, bukan sahaja tidak bersama PAS, bahkan dipergunakan untuk mempertembungkan dengan PAS.

(5)     Agenda yang sama dilihat digunakan di Mesir. Kalau dahulu, al-Azhar ‘tiada masalah’ dengan Ikhwan. Akan tetapi hari ini mereka menjadikan al-Azhar itu penentang kuat buat Ikhwan.

Atas alasan apa? Bacalah kajian RAND Corporation yang saya nyatakan tadi. Idea yang sama seperti sedang dilakukan terhadap PAS di Malaysia. Awas! – HARAKAHDAILY 6/12/2019

- Advertisement -