Tujuan, formula Perpaduan Ummah – TGHH

- Advertisement -

PERPADUAN adalah perintah Allah SWT”, Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memulakan bicara.

- Advertisement -

Penyampaian berfakta, bersahaja dan penuh kiasan. Itulah komentar yang diberikan hadirin dan penonton yang mengikuti syarahan YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam program Pidato Perdana: Bicara Ini Demi Perpaduan di Shah Alam.

Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Media Karangkraf ini diadakan sempena pelancaran buku terbaharu Tuan Guru berjudul ‘Bicara Ini Demi Perpaduan’, yang menghimpunkan koleksi artikel dan ucapan beliau meliputi tajuk penyatuan umat Islam dan perpaduan nasional dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia.

“Tugas manusia adalah untuk mentadbir dunia, di samping perpaduan itu adalah naluri manusia, mengikut ketetapan Allah SWT”, ujar Tuan Guru Abdul Hadi.

“Islam menganjurkan perpaduan manusia, di samping perpaduan umat Islam sendiri. Manusia yang diciptakan dari pelbagai kaum dan bangsa, berasal daripada Adam dan Hawa, perlu bertaaruf dan bermasyarakat madani, mengikut naluri dan fitrahnya” katanya.

Dalam konteks hidup bermadani dan bertamadun, Tuan Guru menyebut:

“Manusia tidak mungkin hidup bersendirian, mesti berkeluarga dan bermasyarakat untuk memakmurkan bumi ini mengikut ketetapan Allah SWT, menjadi keperluan hidup manusia seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan pengangkutan, contohnya proses membuat sehelai baju untuk dipakai”.

‘Di sini manusia perlu hidup bersaudara, maka Islam mengajar perpaduan atas dasar kemanusiaan”.

Untuk memastikan Islam memimpin, Tuan Guru menyebut:

“Perlu disatukan umat Islam dahulu, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang menyatukan kaum keluarganya dan seluruh kaum Muslimin, Muhajirin dan Ansar, Aus dan Khazraj, seterusnya melaksanakan Islam sepenuhnya dan berlaku adil kepada seluruh manusia”.

“Setelah disempurnakan Islam, maka Nabi Muhammad SAW diwafatkan, dan kepimpinan umat Islam disambung oleh para Khulafa’ Rasyidin yang melaksanakan Islam yang sempurna. Tidak sampai satu abad, pengaruh Islam telah berkembang ke pelusuk dunia. Islam berjaya memerintah masyarakat majmuk, menyatukan umat Islam dan bukan Islam”

“Rahsia kejayaan ini adalah, yang pertama prinsip Beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, keduanya konsep Adil kepada semua dan Taqwa kepada Allah SWT. Keimanan menjadikan pemimpin negara tidak melebihi undang-undang, takut melakukan kezaliman, kerana tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang Allah SWT, serta ada pembalasan dan pengadilan di Akhirat”.

“Konsep Adil dan Taqwa pula menjadikan manusia bersatu, kerana yang paling mulia adalah Taqwa, maka tiada penindasan dan kezaliman sesama manusia. Untuk menyatukan manusia tidak sama dengan menyatukan kayu, yang boleh diikat dan dipaku. Manusia ada akal, roh, dan nyawa, yang perlu diurus secara bijaksana”.

Melihat kepada suasana umat Islam mutakhir ini, Tuan Guru berpandangan:

“Perpecahan dalam kalangan umat Islam disebabkan oleh orang Islam sendiri. Bukan salah Islam, tetapi salah orang Islam yang meninggalkan ajaran Islam”.

“Dunia Islam kini sangat memerlukan pemimpin yang adil, iaitu pemimpin yang beriman dan budiman. Pemerintahan Islam meletakkan syarat seorang pemimpin perlu melaksanakan Islam secara menyeluruh, manakala Adil bermaksud tidak mengerjakan dosa besar dan tidak melazimi dosa kecil, serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah”.

Dalam konteks perpaduan dan pemerintahan Malaysia yang bermasyarakat majmuk, Tuan Guru menjelaskan:

“Kepimpinan utama negara perlu dipegang oleh kalangan Islam-Melayu, kerana kepimpinan negara perlu didokong oleh kelompok dominan dalam sesebuah negara bagi menjamin kestabilan politik. Ini terbukti dalam sirah dan sejarah tamadun Islam”.

“Manakala kalangan bukan-Islam boleh dilibatkan bagi memegang jawatan Menteri mengikut kepakaran, dalam bidang pelaksanaan dan pengurusan. Ini boleh menjadi asas untuk menjaga perpaduan negara”.

Ternyata setelah mendengar ‘muqaddimah’ yang disampaikan oleh Tuan Guru dalam wacana ini, jelas kepada kita apakah ‘tujuan’ dan ‘formula’ agenda perpaduan ummah yang dibawa oleh Tuan Guru.

Semuanya demi mematuhi perintah Allah yang terkandung di dalam al-Quran, seterusnya melaksanakan secara praktikal Sunnah yang ditunjukkan oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Maka perlu difahami bahawa agenda perpaduan dan permuafakatan yang diterokai oleh PAS mutakhir ini, bukanlah untuk mengejar kuasa atau mengambil jalan singkat menuju Putrajaya, namun segalanya diusahakan untuk memastikan Islam terus memimpin dan sentiasa di hadapan. – HARAKAHDAILY 5/12/2019

Catatan Syahir Sulaiman, Program ‘Pidato Perdana: Bicara Ini Demi Perpaduan’, 3 Disember 2019, Shah Alam.

- Advertisement -